Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah kenakan hukuman denda, khidmat masyarakat pada pesalah PKP

Mahkamah di beberapa negeri hari ini menjatuhkan hukuman denda antara RM300 hingga RM1,000 terhadap pesalah yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mengarahkan mereka menjalani perintah khidmat masyarakat.

Ada beberapa individu yang dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hari hingga tujuh hari yang bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Ini selaras dengan gesaan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam supaya pegawai kehakiman membuat pertimbangan berkaitan isu risiko penularan virus itu yang dihadapi penjara ketika menjatuhkan hukuman bagi kesalahan melanggar PKP.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Tengku Maimun berkata selain mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah, pegawai kehakiman dinasihati membuat pertimbangan berkaitan risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang pada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai selepas mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

PKPMP dalam kenyataan itu juga mengesahkan menerima Ada beberapa individu yang dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hari hingga tujuh hari dan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap. daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Zulkifli Omar bertarikh 2 April berkaitan penerimaan banduan bagi kesalahan PKP, yang mencadangkan agar pesalah ingkar PKP dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa menjalani hukuman penjara.

Menurut Zulkifli, Jabatan Penjara berpendapat masalah besar akan wujud sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19 di penjara kerana selain mustahil untuk mengamalkan jarakan sosial, ia bakal menjadi lokasi penularan virus itu dan boleh mengancam nyawa banduan mahupun kakitangan.

Mahkamah Majistret dan Sesyen di seluruh negara sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara antara beberapa hari hingga tiga bulan dan denda antara ratusan hingga RM1,000 selain Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang merupakan program khidmat masyarakat terhadap beberapa pesalah ingkar PKP, termasuk warga emas dan remaja.

Mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, dan jika sabit kesalahan, berdepan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan ini merupakan yang paling banyak dilakukan sepanjang pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac lepas.

Ada juga didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS