Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kebanyakan pekerja asing PKS bergaji hari, tiada kontrak'
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Sebahagian besar pekerja asing yang bekerja dengan syarikat kecil dan sederhana diambil tanpa kontrak yang rasmi, atau hanya dibayar gaji secara harian.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Michael Kangm berkata, mengikut anggarannya, peratusan warga asing yang diambil bekerja secara sah hanya kira-kira 15 peratus saja.

"Saya rasa majoriti mereka adalah pekerja haram (tidak diambil mengikut peraturan sedia ada)," katanya pada satu temu bual dalam program Consider This di Astro Awani malam tadi.

Kang berkata demikian sebagai mengulas soalan sama ada langkah Putrajaya melanjutkan skim subsidi gaji selama tiga bulan - dan kini meliputi semua pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah - akan memberi kesan kepada sektor PKS yang menggaji ramai warga asing atau tidak.

"Saya rasa ada sejumlah besar pekerja haram [...] dan pembayaran gaji mereka dibuat berdasarkan hari, atau mereka tidak memiliki sebarang kontrak pekerjaan.

"Justeru apabila (syarikat) tidak beroperasi sepenuhnya, saya fikir pekerja haram itu, PKS tak perlu membayar gaji mereka," katanya.

"(Syarikat) hanya fokus kepada pekerja yang sah dan kerana itu kami (Persatuan PKS) meminta kerajaan melihat kepada isu levi.

"Dan kerana itu kerajaan memberikan potongan 25 peratus ke atas levi," katanya.

Selain skim subsidi gaji yang berperingkat, semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengurangan 25 peratus levi untuk pekerja asing bermula April hingga Dis tahun ini sebagai sebahagian daripada peruntukan tambahan RM10 bilion kerajaan untuk sektor PKS dalam pakej rangsangan ekonomi Prihatin.

Disebabkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) komuniti pekerja asing di Malaysia dikenal pasti sebagai kumpulan rentan yang terjejas dengan penutupan pelbagai operasi industri tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan penting.

Pada 1 April lalu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan NGO Migrant Care - yang berpangkalan di Jakarta - bahawa sejumlah besar rakyat Indonesia dipaksa meninggalkan Malaysia kerana bimbangkan Covid-19.

Sebaliknya, beliau berkata, warga Indonesia mereka yang meninggalkan negara ini berbuat demikian atas kehendak mereka sendiri.

Jumaat lalu, Kompas.com Indonesia melaporkan bahawa tiga kapal tentera ditempatkan di Batam untuk mengangkut 20,000 pekerja yang datang dari Malaysia melalui pelabuhan di Johor.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS