APEC ambil tindakan sedia sokongan fiskal khusus bagi PKS
Negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) turut mengambil tindakan bagi menangani pandemik Covid-19 yang berlarutan dengan menyediakan sokongan fiskal kepada sistem kesihatan, isi rumah dan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata dalam lingkungan APEC, 16 negara telah membuat pengumuman khusus mengenai sokongan yang akan diberikan kepada PKS.
Bagi Malaysia, kerajaan telah mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion sekali gus menjadikan nilai keseluruhan pagi pakej rangsangan ekonomi adalah RM260 bilion.
“Sukar untuk menentukan dengan tepat berapa jumlah nilai daripada rangsangan yang diumumkan mereka itu dikhaskan untuk perusahaan kecil oleh kerana hanya 11 negara sahaja yang memperincikan nilai untuk PKS.
“Semuanya, nilai peruntukan ini adalah kira-kira US$471 bilion seperti data yang tersedia pada 6 April, 2020. Memandangkan situasi terus berubah, negara-negara boleh melaksanakan pusingan bagi langkah seterusnya terutama dengan mengkhususkan kepada PKS,” katanya dalam hari ini.
Beliau berkata langkah yang telah diambil oleh negara APEC meliputi kemudahan pinjaman dan pembiayaan khusus kepada PKS, pinjaman dengan kadar faedah rendah selain memperkenalkan jaminan pinjaman.
Penangguhan bayaran balik pinjaman, subsidi sementara bagi upah serta penangguhan bayaran cukai dan pembayaran balik cukai turut dilaksanakan, katanya.
“Ketika bantuan kerajaan kepada perniagaan kecil penting demi kelangsungan mereka bagi bulan-bulan akan datang, usaha membantu PKS berkembang juga merupakan amalan baik penggubal dasar tanpa mengira apa jua keadaan.
“PKS memberi sumbangan besar kepada pengeluaran ekonomi di antara 40 peratus dengan 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak negara APEC,” katanya.
Rebecca juga berkata PKS turut menyumbang satu pertiga daripada eksport.
Tambahan pula, 97 peratus daripada semua perniagaan adalah PKS dan sektor ini menggaji kira-kira dua pertiga daripada guna tenaga di seluruh rantau APEC, katanya.
Beliau berkata PKS mengambil golongan yang amat mudah terjejas seperti wanita, belia dan yang meningkat usia sebagai pekerja, yang memberikan dorongan atau bantuan kepada perniagaan kecil menyumbang kepada keterangkuman ekonomi.
Beliau berkata melengkapkan usaha negara-negara APEC adalah kerja berterusan Kumpulan Kerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEWG) APEC.
Malah sebelum berlakunya pandemik Covid-19, SMEWG telah menggalakkan usaha membantu usahawan dan PKS untuk memperoleh akses lebih mudah kepada pembiayaan, kepada pasaran antarabangsa serta kepada ekonomi digital, katanya.
Beliau berkata dengan berlakunya pandemik Covid-19, ia sekali gus menekankan bahawa pentingnya untuk mempergiat usaha-usaha tersebut.
-Bernama

