Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Individu sengaja tinggalkan hotel kuarantin akan ditahan

Individu yang baru pulang dari luar negara dan diarah menjalani kuarantin di hotel tersenarai oleh kerajaan akan ditahan sekiranya mereka dengan sengaja bergerak bebas keluar dari tempat masing-masing.

Ketika memberi peringatan itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“Polis memandang serius kejadian ini. Jika terdapat individu atau kumpulan yang dikenakan perintah kuarantin di hotel-hotel tersenarai dengan sengaja bergerak bebas keluar dari bilik untuk merayau-rayau atau berkumpul (mereka akan diambil tindakan).

“Perbuatan tidak mengendahkan keperluan jarakan sosial ini amat berbahaya, dan arahan telah dikeluarkan untuk petugas (anggota polis) menahan mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya.

Sebanyak 45 hotel ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan terhadap individu yang baru pulang dari luar negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS