Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan memulakan tindakan terhadap majalah Edisi khas kontroversi Majalah Playboy yang diedarkan di pasaran sejak bulan lalu.

Turut dikenakan ialah beberapa penerbitan lain yang berunsur lucah dan keganasan seks yang dikesan diterbitkan dan diedarkan di negara ini, termasuk Dunia Madani, Mingguan Seni, Warta Seni, Getaran Jiwa, Warta Seni dan Tras Efektif.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Fu Ah Kiow, kementeriannya berjaya merampas 4,283 naskhah majalah Dunia Madani, tiga naskhah cerpen dan novel berunsur lucah serta empat majalah Getaran Jiwa.

Dalam operasi susulannya, kementerian berkenaan merampas 460 naskhah Edisi Khas Kontroversi Majalah Playboy di seluruh negara, 18 naskhah Mingguan Seni dan 12 naskhah Warta Seni.

Tindakan diambil kerana beberapa sebab seperti tidak mengemukakan lapan naskhah bagi setiap keluaran kepada kementerian berdasarkan syarat permit penerbitan dan tidak mematuhi konsep asal isi kandungan, dengan menerbitkan bahan lucah dan keganasan seks, katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam semalam.

Fu berkata, tindakan juga akan diambil berasaskan kepada bahan penerbitan yang tidak mempunyai permit penerbitan atau menggunakan nombor permit penerbitan yang telah tamat tempoh.

Hukuman penjara

Menurut laporan Bernama, tindakan terhadap syarikat penerbit dan pengedar majalah terbabit dibuat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Fu berkata, syarikat yang menerbitkan Edisi Khas Kontroversi Majalah Playboy dan Dunia Madani akan dirujuk kepada pejabat Penasihat Undang-Undang kementerian untuk dikaji dari segi tindakan perundangan.

Katanya, penerbitan Edisi Khas Kontroversi Majalah Playboy didapati menggunakan nombor permit penerbitan yang diberikan kepada majalah Mingguan Seni yang diterbitkan oleh sebuah syarikat manakala Dunia Madani pula diterbitkan tanpa permit yang sah daripada kementerian.

Bulan lalu negara gempar apabila majalah Playboy versi Melayu dikesan diterbit dan diedar di Kelantan secara terhad di beberapa kawasan di negeri itu.

Penjualan majalah itu yang diterbitkan secara haram dan dijual dengan harga RM2.80 di sekitar kawasan Tanah Merah, Kelantan dikesan sejak awal bulan lepas.