Terjemahan Apakah undi pos perlu dihapus dan anggota polis dan tentera dikehendak mengundi seperti orang awam yang lain?

Apakah anggota tentera dan polis yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sabah perlu dibenarkan mengundi dalam pilihanraya negeri Sarawak?

Semua persoalan ini dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang baru bagi kawasan Bukit Assek, Richard Wong Ho Leng.

Beliau memberitahu malaysiakini, undi pos biasannya memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan menjadi faktor penentu jika berlaku persaingan hebat dalam pilihanraya.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya negeri Sarawak pada 20 Mei lalu, di mana calon-calon DAP yaang menang di kawasan majoriti Cina, tetapi dalam perkiraan akhir, kalah kerana undi pos.

Beliau mendakwa, di DUN Pelawan, Dr Ting Chek Ming dari DAP kalah dengan majoriti 263 undi kepada calon BN dari SUPP, Vincent Goh Chung Siong kerana undi pos.

Begitu juga, katanya, di DUN Dudong di mana penyandangnya dari BN-SUPP, yang juga Menteri Muda Dr Soon Choon Teck menewaskan calon DAP, Stephen Lu Cheng Kuok dengan majoriti 408 undi.

Menurut Wong, calon DAP menang dalam kawasan majoriti Cina, tetapi dia tewas dalam perkiraan akhir kerana terdapa 1,185 undi pos yang memihak kepada BN. DAP hanya mendapat 22 undi pos.

Petisyen pilihanraya

Sementara itu, Wong bertanya sama ada anggota polis dan tentera yang datangnya dari negeri-negeri lain, tetapi ditempatkan di Sarawak, harus dibenarkan mengundi dalam pilihanraya negeri itu.

Mereka mesti berdaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di negeri mereka, kecuali mereka merupakan pemastautin di Sarawak untuk tempoh masa yang lama, katanya.

Menurutnya, tempat mengundi boleh didirikan di luar kawasan kem tentera di mana ejen calon-calon yang bertanding boleh hadir untuk menyaksikan proses pengundian tersebut.

Sementara itu, Wong berkata, partinya sedang mengumpul laporan dari pelbagai calon untuk menentukan sama ada perlu memfailkan petisyen pilihanraya. Petisyen pilihanraya perlu difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan rasmi pilihanraya negeri diwartakan.

Setakat ini, katanya, terdapat sebab-sebab untuk mempercayai bahawa undi pos mungkin dibeli di tiga DUN Bawang Assan, Pelawan dan Dudong. Menurutnya, DAP sedang mengemukakan bukti-buktinya kepada pihak berkuasa berkenaan.

Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak juga berkata, partinya akan mengumpulkan maklumat untuk menyokong dakwaan bahawa SUPP telah membelanjakan wang melebihi had yang dibenarkan di salah sebuah DUN di Sibu.

Beliau juga mendakwa, SUPP telah memberi batu dan pasir kepada para pengundi, walaupun mengetahui ianya melanggar Akta Pilihanraya. DAP menang di enam daripada 12 DUN yang ditandinginya. Berita asal