KORONAVIRUS | Akibat melepak beramai-ramai di dalam sebuah kondominium, 15 lelaki dan empat wanita - termasuk dua remaja perempuan - dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Kajang kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mereka berusia antara 17 dan 31 tahun dan mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 3 April.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas remaja terbabit sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 14 Mei.

Mereka dibebaskan dengan jaminan RM500 dan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan yang diperuntukkan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di sebuah unit di Kondominium Amerin, Taming Jaya, Kajang pada jam 12.35 tengah hari, 3 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11 (1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesemua mereka hanya berkumpul beramai-ramai untuk "lepak minum" tanpa sebarang alasan munasabah.

Ambil minuman keras

“Kes ini juga telah menjadi tular di media sosial kerana keengganan mereka untuk mematuhi PKP. Mereka ini juga dilihat sengaja mencabar undang-undang negara dan usaha kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pihak polis menerima maklumat daripada orang awam menyatakan bunyi bising datang dari sebuah unit kondominium terbabit.

Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati tertuduh gagal memberikan alasan munasabah kerana berkumpul dan berada di luar rumah masing-masing. Polis kemudian bertindak menahan mereka.

Sementara itu, di mahkamah sama enam lelaki berumur 34 hingga 48 tahun turut dipenjara 14 hari atas kesalahan berada di kawasan jangkitan wabak tanpa alasan munasabah dan penjara 14 hari kerana minum minuman keras di tempat awam.

Muhammad Noor Firdaus memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 2 April lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Taming Sari 1 pada 11.30 malam, 2 April lalu.

Bagi pertuduhan mengambil minuman keras, mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250 atau penjara sehingga 14 hari.

Ketika membuat rayuan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R Kirthiraj, yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman denda minimum diberikan dengan alasan mereka menyesal atas perbuatan mereka.

Katanya tempoh tahanan reman selama enam hari memberi kesedaran kepada mereka.

Bagaimanapun, Norhana memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan kesemua tertuduh.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Daerah Kajang membuat pemantauan di lokasi kejadian dan ternampak sekumpulan lelaki sedang duduk berkumpul dan mengambil minuman keras.

- Bernama