Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun PH dakwa MB Pahang politikkan bantuan Covid-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan negeri Pahang sebagai mempolitikkan bantuan kewangan bagi membantu rakyat di negeri itu yang terjejas wabak Covid-19.

Adun Semambu PKR Lee Chean Chung mendakwa bahawa sembilan Adun PH tidak dijemput menghadiri majlis agihkan bantuan kewangan oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

"Menurut gambar, para Adun Umno, PAS dan MCA menghadiri majlis tersebut, namun wakil PH tidak dijemput," katanya kepada Malaysiakini.

Lee yang juga bendahari PKR itu menyifatkan kerajaan negeri sebagai mempolitikkan bantuan Covid-19.

Dia juga menyifatkan ia sebagai melanggar nilai kemanusiaan serta melemahkan semangat rakyat memerangi Covid-19.

Jelas Chean Chung, Adun pembangkang hanya menerima bantuan khas sebanyak RM3,000 setakat ini dari kerajaan negeri untuk kawasan masing-masing.

Dia mendakwa Wan Rosdy mengagihkan RM75,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri tanpa pengetahuan pemimpin PH.

"Kami hanya boleh membantu penduduk di kawasan kami dengan cara kami sendiri kerana bantuan kerajaan negeri adalah terhad. Kita harus berjuang melawan pandemik, namun mereka memilih untuk bermain politik pada masa kritikal ini. Ini mengecewakan, " katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen juga mengesahkan bahawa Adun pembangkang di Pahang tidak menerima bantuan kewangan dari kerajaan negeri.

Kata Chin Chen, kerajaan negeri seharusnya bersikap profesional dalam mengendalikan dana bantuan kerana wabak Covid-19 menjejasklan setiap keluarga tanpa menghiraukan sokongan politik.

Adun Bilut itu juga berkata tujuh ahli parlimen DAP dan exco akan mendermakan 10 peratus gaji mereka selama tiga bulan bagi dana bantuan Covid-19.

"Kerajaan tidak sepatutnya mempolitikkan perkara ini," tegasnya.

Menurut laman Facebook kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy memperuntukkan RM75,000, dengan bantuan tunai RM100 dan RM50 barangan asas untuk 500 penerima di setiap kawasan DUN.

Jumlah peruntukan bagi tujuan itu ialah RM3.15 juta.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM75,000 yang terdiri daripada barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 golongan miskin tegar dan 500 paket beras kepada golongan yang memerlukan di semua kawasan.

Malaysiakini telah menghubungi kerajaan negeri untuk memberi komen.

Lihat Komen
ADS