Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ICRC puji tindakan Malaysia tidak penjara pesalah PKP
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa Malaysia memberikan respons terhadap kebimbangan penggunaan hukuman penjara sebagai hukuman pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia berikutan permintaan Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar supaya hukuman penjara dihentikan ke atas mereka yang tidak mematuhi PKP kerana kemasukan mereka ke dalam penjara mungkin mencetuskan wabak Covid-19 di dalam penjara.

Delegasi Serantau ICRC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah suatu penyelesaian yang baik dan sejajar dengan pendirian global ICRC mengenai isu kesesakan di pusat tahanan dan risiko tambahan jangkitan kepada tahanan.

"Oleh sebab itu, penghantaran lebih ramai orang ke penjara, hanya akan menyimpang dari tujuan asal PKP, iaitu, untuk menghentikan penyebaran Covid-19," jelas kenyataan itu.

Polis mengeluarkan kompaun RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit terhadap mereka yang mengingkari PKP mulai semalam.

ICRC juga memaklumkan pihaknya mendermakan bahan perlindungan dan kebersihan seperti penutup hidung dan mulut, sabun dan pencuci tangan untuk kakitangan serta tahanan di semua penjara dan Pusat Tahanan Imigresen serta Pusat Tahanan Sementara di seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS