Terjemahan Walaupun sudah beberapa demonstrasi diadakan di luar KLCC sejak Mac lalu, tetapi sesetengah pengunjung pusat membeli-belah di situ dan kawasan sekitarnya seolah-olah tiada menyedari apa yang berlaku.

Mereka mendakwa tidak menyedari mengenai demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik itu, manakala yang lainnya secara terus terang memberitahu yang mereka telah diarahkan supaya jangan bercakap mengenainya.

Mula-mula, malaysiakini menemui beberapa kakitangan di tempat situ dan mendapati sesetengah daripada jawapan mereka amat menarik sekali.

Kakitangan perkhidmatan pelanggan di Suria KLCC yang mahu dikenali sebagai Shima, berkata dia menyedari tentang demonstrasi Ahad lalu tetapi beliau tidak bekerja pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, tegasnya, apa juga yang berlaku di luar bangunan tersebut adalah 'di luar kawalannya' dan tugasnya hanya terhad di bahagian dalaman pusat membeli-belah itu sahaja.

Seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan di Menara Berkembar Petronas berkata, kawasan tersebut ditutup pada setiap hari Ahad.

Seorang penyambut tamu, Sharmini, yang bertugas di Menara Maxis di situ berkata, kawasan masuk ke KLCC ditutup setiapkali berdemonstrasi diadakan bagi menghalang pengunjung daripada meninggalkan pusat membelibelah tersebut.

Kelihatan teragak-agak

Manakala mereka yang bertugas di tingkat bawah bangunan Suria KLCC pusat membelibelah yang paling hampir dengan tempat demonstrasi itu kelihatan teragak-agak ketika ditemui malaysiakini.

Kakitangan dua kedai fesyen mendakwa mereka sedang sibuk bertugas dan tidak ada masa untuk menjawab soalan yang dikemukakan dan meminta wartawan malaysiakini beredar dari situ.

Manakala beberapa kakitangan sebuah lagi kedai fesyen berkata, mereka sibuk melayan pembeli pada hari Ahad lalu dan tidak menyedari apa yang berlaku di luar bangunan tersebut.

Sementara itu, seorang kakitangan sebuah lagi kedai fesyen berkata, pintu masuk ke kompleks membeli-belah itu ditutup pada hari Ahad lalu, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Berikutan itu, kami menemui empat pegawai keselamatan dan agak mengejut apabila mendapati mereka telah diarah supaya jangan bercakap mengenai perkara tersebut.

Surat kebenaran

Zerry, seorang pegawai keselamatan yang bertugas menjaga lalulintas di luar Menara Berkembar Petronas berkata, beliau bertugas pada pagi Ahad lalu dan melakukan apa yang diarahkan oleh penyelianya pada hari berkenaan.

Ketika ditanya lanjut mengenai apa yang berlaku pada pagi tersebut, Zerry berkata, ia 'rahsia'.

Seorang pegawai kanan keselamatan Muhd Ali nampak agak berang apabila ditanya mengenai demonstrasi tersebut dan mengarahkan kami menemui pihak pengurusan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Seorang lagi pegawai keselamatan, Sukor, berkata beliau memerlukan surat kebenaran daripada pihak pengurusan sebelum dapat memberitahu sebarang maklumat kepada kami.

Aznizam, yang tidak bertugas pada hari Ahad lalu, berkata dia nampak meriam air ditembak ke arah mereka yang menyertai demonstrasi tersebut tetapi tidak perasaan ada yang cedera atau ditahan.

Demonstrasi Ahad lalu adalah yang keempat diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Polis telah menggunakan kekerasaan ketika meleraikan kira-kira 500 orang yang menyertai demonstrasi tersebut, dengan menggunakan meriam air, cota dan perisai polis.

Dua puluh orang, termasuk beberapa pemimpin pembangkang dan seorang ahli Parlimen, ditahan manakala dua orang lagi terpaksa mendapat rawatan perubatan kerana cedera dipukul anggota polis. Berita asal