Dominique pembawa obor PKR di Sarawak
Pada tahun 1991 dan 1996, beliau bertanding atas tiket DAP manakala pada 2001 sebagai calon Bebas. Tetapi semua tewas. Dan dalam percubaan keempatnya, Dominique Ng Kim Ho berjaya dipilih sebagai wakil rakyat Padungan dalam pilihanraya negeri Sarawak 20 Mei lalu. Kali ini atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PRK).
Pada tahun 1991 dan 1996, beliau bertanding atas tiket DAP manakala pada 2001 sebagai calon Bebas. Tetapi semua tewas. Dan dalam percubaan keempatnya, Dominique Ng Kim Ho berjaya dipilih sebagai wakil rakyat Padungan dalam pilihanraya negeri Sarawak 20 Mei lalu. Kali ini atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PRK).
Lantaran itu, peguam kelulusan Australia ini bukanlah muka baru dalam arena politik, khususnya di Sarawak.
Namun kemenangan beliau mengejutkan banyak pihak kerana sebelum itu, PKR dianggap tidak mempunyai peluang untuk menang, memandangkan jentera pilihanraya parti pemerintah Barisan Nasional (BN) cukup kuat..
"Saya amat terkejut dengan kemenangan ini kerana jentera parti pemerintah sangat kuat dan rekod pemerintahannya yang begitu lama di Sarawak," katanya.
Apatah lagi dalam pilihanraya negeri 2001, PKR tidak memenangi sebarang kerusi. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula menyifatkan PKR umpama 'hidup segan mati tidak mahu'.
Namun Dominique menafikan semua itu. Pengundi Padungan terutama kaum Cina menyokong dan menolak calon BN, Lily Yong Lee Lee yang juga Naib Presiden SUPP.
Dominique merupakan pejuang masyarakat dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak asasi rakyat Sarawak seperti tanah adat. Profesyennya sebagai peguam memudahkan beliau membantu rakyat yang memerlukan perhatian.
Faktor pengundi Cina
Di kawasan bandaraya Kuching kawasan majoriti kaum Cina Dominique mengalahkan Lily dengan majoriti 1,417 undi. Dominique mendapat 8,002 undi manakala Lily mendapat 6,585 undi.
Jumlah pengundi Cina di Padungan ialah 91.70 peratus. Yang lain ialah pengundi Melayu 5.26 peratus, Iban (1.22 peratus), Bidayuh (0.89 peratus), Orang Ulu (0.14 peratus) dan lain-lain (0.71 peratus).
Dalam pilihanraya kali ini, PKR yang menganggotai Barisan Bersatu Sarawak (BBS) bertanding 25 kerusi dan hanya memenangi kawasan Padungan.
Bagaimanapun, beberapa kerusi lain terutama Saribas memperlihatkan rakyat Sarawak mula menyokong PKR meskipun parti itu baru berusia enam tahun dan merupakan percubaan kedua di negeri itu.
Tiga belas kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 1,500 undi. Kerusi berkenaan ialah Beting Maro, Bukit Begunan, Batang Ai, Repok, Ngemah, Dudong, Pelawan, Belaga, Pujut, Batu Danau, Ba'kelalan dan Saribas.
Daripada senarai itu, Sadong Jaya dan Saribas ditandingi oleh calon PKR manakala selebihnya oleh SNAP, DAP dan Bebas yang merupakan gabungan BBS serta PAS yang tidak menganggotai BBS di kerusi Beting Maro.
Kuching merupakan kubu kuat DAP dan Sim Kwang Yang pernah menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal pada tahun 80-an. Bagaimanapun, ketiadaan Sim menyebabkan pengaruh DAP merosot teruk sehingga hanya memenangi satu kerusi dalam pilihanraya negeri lalu.
Tetap bersama PKR
Ditanya mengenai sejarah politiknya yang pernah bertukar parti, Dominique berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti komponen BN sekalipun jika dipelawa untuk berbuat demikian.
"Saya melihat PKR mempunyai arus perjuangan berbilang kaum yang amat sesuai dengan penduduk berbilang keturunan Sarawak," katanya kepada malaysiakini.
Dominique meninggalkan DAP kerana perbezaan pendapat dengan pucuk pimpinan parti tersebut selepas pilihanraya 1996.
Mungkin dalam pilihanraya yang mendatang, lebih ramai wakil PKR untuk membawa suara rakyat Sarawak dalam dewan undangan negeri.
Abang Zulkifli Abang Engkeh yang bertanding di Saribas cuma tewas 94 undi kepada calon BN Dr Wahbi Junaidi. Abang Zulkifli mendapat 2,347 undi manakala Dr Wahbi 2,441 undi.
Manakala di Sadong Piee Bin Ling hanya kalah dengan majoriti 858. Di Pantai Damai calon PKR Idris Bahori mendapat 3,053 undi berbanding calon BN 5,217 undi.
Seperti kata Dominique Ng, beliau telah memecahkan tembok batu untuk PKR menjadi lebih kukuh di Sarawak dalam pilihanraya umum akan datang.
Kerjaya Politik Dominique:
1990 - Menubuh dan dilantik sebagai Presiden pertama Persatuan Graduan Sarawak Australia.
1995 - Memulakan perniagaan membekalkan bahan perubatan dan saintifik.
1995 - Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Satok, Kuching yang mempunyai keahlian seramai 500 orang mewakili 2,000 peniaga termasuk Pasar Ahad, Pasar Tamu, Pasar Tani dan peniaga buah-buahan Jalan Satok.
1997 - Ditahan di lokap polis selama 24 jam pada 10 November kerana mempertahankan penempatan setinggan Kampung Siol Kandis, Petra Jaya daripada pencerobohan paksa.
2000-2001 - Memulakan dan menjadi penasihat guaman Scamcop, gerakan menentang perlesenan hak cipta muzik Sarawak iaitu sebuah persatuan antara persatuan pengusaha restoran Sarawak, persatuan penjual elektronik dan elektrik, persatuan hotel murah Sarawak (jawatankuasa Pro-tem), persatuan penggunting rambut.
2006 - Dilantik menjadi penasihat undang-undang PKR Sarawak dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Pusat. Bertanding sebagai calon PKR di Padungan dan menang menewaskan Naib Presiden Supp, Lily Yong.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.