Perdagangan rokok haram berleluasa walaupun ketika PKP
Penjualan rokok haram berleluasa dengan Malaysia menjadi hab bagi pengagihan di Asia walaupun ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kata Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA).
Pengarah Urusan RTBA kesihatan, Michael berkata permintaan terhadap rokok haram meningkat semasa PKP apabila pengeluar tidak dibenarkan mengedarkan rokok kerana dianggap sebagai barangan tidak penting.
"Sindiket menggunakan eCommerce dan platform media sosial bersama-sama dengan e-hailing dan perkhidmatan kurier untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
"Trend ini amat membimbangkan kerana ia menggagalkan agenda kesihatan negara untuk menggalakkan rakyat Malaysia berhenti merokok semasa PKP dan menyebabkan kerugian hasil kerajaan," kata Michael dalam satu kenyataan.
Michael menjelaskan tembakau haram yang dihasilkan di China, dihantar ke Malaysia sebelum diedarkan ke negara-negara lain di Asia serta Australia.
"Kami menjangka rantaian bekalan ini kekal utuh apabila jenayah terancang multinasional ini mencari cara bijak untuk mengeksport dan mengimport rokok haram semasa pandemik Covid19," katanya.
Beliau berkata walaupun Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui aktiviti perdagangan tembakau haram, usaha untuk melumpuhkan penjualan produk berkenaan masih belum berkesan.
"Kerajaan boleh melakukan lebih lagi untuk melumpuhkan perdagangan rokok haram dengan mengetatkan kawalan sempadan, meningkatkan kerjasama antarabangsa dan perkongsian risikan di sempadan.
"Ia juga perlu melaksanakan penyelesaian berasaskan permintaan dengan menangani jurang harga antara tembakau yang sah dan haram.
"Perdagangan haram ini menyebabkan kerajaan Malaysia kerugian RM5 bilion setahun.
"Jumlah ini adalah separuh daripada pakej rangsangan RM10 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diumumkan oleh perdana menteri baru-baru ini," katanya.

