Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar tulis surat pada PM gesa PKP dilonggar beransur-ansur
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 11:35 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan 12 bekas presidennya menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menggesa kelonggaran secara beransur-ansur dilaksanakan dalam perintah kawalan selepas ini bagi memerangi penularan Covid-19.

"Pujian untuk Malaysia kerana langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, yang dipandu golongan profesional dan berpengalaman, setakat ini telah berjaya mengawal peningkatan kes dan kematian yang kita lihat di beberapa negara lain," menurut surat itu.

Namun mereka mengatakan kawalan pergerakan yang lebih longgar perlu diteruskan.

"Sebagai contoh, perniagaan dibenarkan untuk beroperasi dengan garis panduan yang ketat dengan sejumlah orang boleh berada di premis itu. Pengangkutan awam mungkin beroperasi dengan penumpang terhad, dengan pembasmian kuman yang lebih kerap.

"Kebersihan tangan dan jarak fizikal mesti dipatuhi, dengan topeng muka jika perlu. Perjalanan antara negeri mungkin perlu dihadkan, tetapi perlu diberi keutamaan bagi keperluan ekonomi dan bukannya peribadi.

"Jemaah kumpulan besar di tempat-tempat ibadat, perayaan (seperti majlis perkahwinan) malangnya masih perlu dihadkan, sehinggalah virus ini menurun secara konsisten. Ini mungkin mengambil masa berbulan hingga bertahun.

"Semua langkah tersebut perlu penguatkuasaan, dan penguatkuasa perlu diberi garis panduan yang jelas supaya ia tidak melebihi had peraturan atau kuasa mereka. Orang ramai juga perlu mendapat maklumat tentang kesan-kesan praktikal apa-apa peraturan - apa yang dibenarkan dan tidak," ujar surat berkenaan.

Surat itu ditandatangani presiden MMA Dr N Ganabaskaran dan 12 bekas presiden termasuk Dr Ashok Philip, Dr David Quek Kwang Leng, Dr H Krishna Kumar, Dr A Krishnamoorthy, Dr N Arumugam, Dr Milton Lum Siew Wah, Dr RP Lingam, Dr John Chew Chee Ming, Dr Ravindran Naidu, Dr Subramaniam Nadarajan, Dr Abdul Hamid dan Dr Mohamed Namazie Ibrahim.

Dalam membuat gesaan ini, pakar perubatan tersebut mengakui koronavirus tidak akan lenyap dalam masa terdekat tetapi meminta rakyat Malaysia menghabiskan waktu di rumah sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

"Terdapat banyak strategi yang boleh menyokong daya tahan masyarakat dan kesihatan mental, perlindungan kepada barangan dan perkhidmatan asas dan mengehadkan kesan ekonomi dengan langkah duduk di rumah, yang mana adalah perlu.

"Sebagai contoh, pengaturan kerja untuk memastikan jarak fizikal antara individu, seperti penukaran syif masa bekerja, atau menukar perkhidmatan di lokasi kepada penghantaran ke rumah boleh membantu menyelamatkan lebih banyak perniagaan," jelasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS