Semua jenis projek pembangunan diwajibkan untuk mendapat kelulusan Kesan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) apabila Akta Kawalan Alam Sekeliling 1974 dipinda, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan meminda Akta Kawalan Alam Sekeliling 1974 bagi menetapkan semua jenis projek pembangunan diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan Kesan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kata menteri berkenaan Datuk Seri Azmi Khalid.

Katanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan supaya menyiapkan pindaan tersebut sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya akta sedia ada yang disusun mengikut saiz tanah cuma menetapkan projek pembangunan yang melebihi keluasan 50 hektar sahaja yang diwajibkan untuk mendapatkan kajian EIA.

Tanah runtuh

"Undang-undang sedia ada, ada kelemahannya. Kita sedang kaji untuk meminda akta supaya menetapkan semua projek pembangunan walaupun sekecil manapun saiznya khasnya di kawasan sensitif perlu untuk mendapatkan kajian EIA supaya kalau projek menjejaskan alam sekitar, kita boleh ambil tindakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran "Air Bersih untuk Bandaraya kita" di sini.

Menurut laporan Bernama, Azmi berkata pindaan itu dicadangkan ekoran banyaknya pemaju yang sengaja membangunkan sesebuah kawasan yang bersaiz kurang daripada 50 hektar bagi mengelak daripada mendapatkan kajian EIA.

Mengulas kejadian tanah runtuh di Hulu Kelang di sini Rabu lalu, Azmi berkata setakat ini beliau belum lagi menerima sebarang laporan daripada JAS mengenainya.

"Saya difahamkan bahawa banyak tapak-tapak pembangunan di Bukit Ampang itu semuanya kurang daripada 50 hektar. Sebenarnya pemaju sengaja mengurangkan saiz untuk elak kajian oleh JAS. Jadi JAS tidak mempunyai input dari awalnya.