Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: ‘6 syarat untuk industri terpilih beroperasi’

KATA MP | Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk melanjutkan PKP dan juga bersedia untuk memberi ruang kepada industri-industri tertentu mula beroperasi.

Akan tetapi, industri yang terpilih untuk beroperasi harus mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan seperti:

  1. Sanitasi berkala di premis khususnya di permukaan kaunter, elevator dan sebagainya.
  2. Saringan pekerja dan pelanggan apabila masuk ke premis.
  3. Memastikan jarak sosial di kalangan pekerja dan juga di kalangan pelanggan.
  4. Semua pekerja dan pelanggan wajib pakai topeng muka.
  5. Sediakan tempat basuh tangan ataupun pensaniasi tangan.
  6. Sistem pendaftaran pelanggan sekiranya boleh.

Peratusan kematian sebagai 1.6 peratus akibat Covid-19 sepertimana yang diumumkan oleh perdana menteri adalah salah.

Ini adalah kerana masih terdapat 2,450 pesakit Covid-19 yang sedang menerima rawatan di hospital dan antaranya 72 pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun angka ini rendah berbanding Iran, Itali, UK dan Sepanyol, sekali gus menunjukkan bahawa jumlah ujian Covid-19 yang dijalankan di Malaysia jauh lebih memuaskan daripada negara berkenaan.

Kadar kematian yang tinggi di negara-negara tersebut adalah kerana ramai pesakit yang ringan tidak menerima rawatan/ujian, disamping kekurangan ICU dan ventilator (alat pernafasan).

Untuk mengurangkan jumlah kes baru, kerajaan harus melaksanakan Smart-PKP iaitu memperketatkan kawalan di kawasan kediaman di mana jangkitan berlaku.

Kebanyakan kawasan atau lokaliti mengikut taman ataupun kampung adalah kawasan hijau yang seharusnya diberikan kelonggaran.

Kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan dengan melabelkan risiko jangkitan mengikut daerah tidak membantu kerana lebih 90 peratus daerah adalah zon merah.

Pengesanan kontak serta kuarantin/isolasi yang lebih berkesan harus dilaksanakan.

“Keputusan ujian sama hari Covid-19” harus menjadi sasaran supaya usaha kawalan tidak terjejas kerana masa yang panjang untuk mengetahui keputusan.


DR LEE BOON CHYE ialah anggota parlimen Gopeng dan bekas timbalan menteri kesihatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS