Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kebolehjangkitan menurun ke '1' sejak PKP dilaksanakan

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kebolehjangkitan atau istilah epidemiologi 'jumlah pembiakan asas' (ditanda sebagai R-naught atau R0) Covid-19 di Malaysia telah dikurangkan ke tahap stabil sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa jumlah pembiakan asas (R0) wabak itu adalah 3.55 sebelum pelaksanaan PKP.

Kini jumlah pembiakan asas itu telah jatuh ke satu.

"Dari segi kebolehjangkitan, sebelum PKP dilaksanakan, jumlahnya adalah 3.55, yang bermaksud jika seseorang dijangkiti, dia akan menjangkiti 3.55 orang lain.

"Kini, apabila kita melihat ke hari ini, kita dapat menurunkan R0, yang bermakna PKP fasa satu dan fasa dua sangat berkesan untuk menurunkan R0," katanya.

Dalam istilah epidemiologi, R0 di atas angka satu bermakna penyakit masih merebak dalam populasi. Sekiranya angka di bawah satu, ia bermakna wabak itu semakin berkurangan dan akhirnya akan hilang.

Angka tersebut adalah sejajar dengan anggaran oleh sebuah pasukan yang berpusat di Imperial College London, yang menganggarkan angka sekitar 1.19 untuk minggu bermula 5 April.

Imperial College London menganggarkan potensi kes-kes yang tidak dilaporkan dengan melihat laporan kematian Covid-19.

Sementara itu, Noor Hisham berkata kementerian menjangkakan R0 akan diturunkan kepada 0.9 pada 14 April, yang akan menjadi kadar yang boleh dikawal oleh kerajaan.

Beliau berkata model oleh JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia telah meramalkan bahawa Malaysia akan mencapai kemuncak wabak itu di antara 6,000 hingga 8,000 kes.

Bagaimanapun, beliau berkata, model-model ini berdasarkan andaian yang dibuat menggunakan pemerhatian di negara lain.

Di Kementerian Kesihatan, Noor Hisham berkata mereka mampu membuat anggaran yang lebih tepat berdasarkan data masa nyata, yang menunjukkan trend yang stabil tanpa peningkatan pesat kes baru.

"Kami mempunyai trend yang stabil, kita tidak melihat sebarang peningkatan eksponen.

"Mungkin juga kita sudah mencapai kemuncak. Minggu lepas mungkin kita punya kemuncak.

"Sekarang kita melihat kes-kes kita semakin kurang. Itu petanda yang baik," katanya.

Lihat Komen
ADS