Kementerian Kesihatan menjadikan bangunan yang pernah digunakan sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh sebagai wad untuk pesakit Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam, wad baru itu mempunyai 60 katil dan akan digunakan untuk pesakit dengan gejala ringan.

Seorang petugas kesihatan menulis dalam kumpulan Facebook Rayuan Pengamal Perubatan bahawa walaupun wad tersebut tidak mempunyai pendingin hawa, namun ia cukup selesa buat pesakit.

"Pesakit cakap kat sini ala resort. Syabas team," katanya.

Pusat Kawalan Kusta Negara dibina pada tahun 1930 dan digunakan sehingga tahun 1995.

Ia pada asalnya direka untuk pesakit kusta diasingkan daripada penduduk lain dan dikenali sebagai Lembah Harapan.

Pelbagai pihak sebelum ini menggesa agar bangunan tersebut dipelihara dan diiktiraf sebagai warisan negara.