Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR tidak mampu taja ahli parti buat video kritik kerajaan
Diterbitkan:  Apr 11, 2020 4:32 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

PKR menafikan dakwaan yang parti itu mengajak rakyat Malaysia supaya menghasilkan video pendek bagi mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti tular di media sosial.

Ketua Penerangannya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata parti itu tidak mempunyai keupayaan kewangan bagi memberi saguhati kepada penghasilan video sebegitu.

"Tambahan dakwaan penyediaan dana atau habuan untuk video pendek dari rakyat itu adalah tidak benar, kerana PKR tentunya tiada keupayaan kewangan seperti itu.

"Rakyat mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk berfikir secara rasional dan kritis. Apabila melihat kelemahan-kelemahan PN di dalam mengendalikan krisis yang mengancam negara dan nyawa rakyat, sudah pasti mereka akan menyuarakan kritikan.

"Apabila menteri-menteri PN menyuarakan sesuatu yang tidak masuk akal seperti meminum air suam akan membantu membunuh virus, atau saranan kementerian untuk para isteri membuat suara Doraemon, atau melakukan sanitasi jalanraya dengan membazirkan peralatan perlindungan diri, atau mengajak mahasiswa bermain Tik Tok, atau yang terbaru tindakan Umno menyerang Dr Musa Nordin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Free Malaysia Today semalam melaporkan dakwaan wujud usaha yang dikatakan didalangi PKR untuk menafikan sokongan orang ramai terhadap kerajaan, termasuk melalui video pendek yang menonjolkan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Portal itu juga mendakwa telah melihat mesej kumpulan PKR yang menyatakan bahawa organ berita parti itu telah mengambil inisiatif untuk menyelaraskan kempen video.

Laporan itu juga memetik sumber parti yang tidak dinamakan mengenai "insentif" yang dikatakan telah ditawarkan sejak Februari untuk anggota parti yang "secara aktif mengkritik kerajaan."

Sementara itu, Shamsul berkata, beliau yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk mengkritik tindakan-tindakan kerajaan yang memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka.

"Justeru, saya menyeru PN untuk bersikap positif menerima kritikan rakyat dengan hati dan minda terbuka.

"Cuba fahami kritikan-kritikan tersebut dan melakukan pembetulan-pembetulan perlu. Jangan menjadi terlalu sombong sehingga menganggap kerajaan tahu segala-galanya.

"Cubaan mengalihkan kritikan untuk menyerang saya dan PKR sudah pastinya adalah lebih malang kerana pada saat ini kita harus memfokuskan kepada ikhtiar membendung penularan wabak dan menyelamatkan negara, bukan bermain politik," katanya.

Lihat Komen
ADS