Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Hisham: Tangguh dulu kebenaran operasi kedai gunting rambut

Meskipun bersetuju bahawa kerajaan perlu merancang untuk mengembalikan keadaan kepada biasa secara berperingkat, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan agar kebenaran untuk kedai gunting rambut beroperasi ditangguhkan terlebih dahulu.

"Memang kita setuju dengan perancangan tetapi dari segi pelaksanaan, sepatutnya ditangguhkan sekurang-kurangnya dua minggu.

Setidak-tidaknya untuk kita lihat dalam tempoh seminggu sama ada kita dapat kawal Covid-19 dalam komuniti kota," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula data dalam seminggu dan melihat situasi semasa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa situasi tidak akan kembali normal sepenuhnya dalam sehari dan ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan secara berperingkat.

"Kita kena lihat untuk kita bermula dengan cara berperingkat-peringkat, kita tidak boleh kembali (normal) terus. Contohnya habis saja fasa tiga (perintah kawalan pergerakan) kita (tidak boleh) terus seperti cara biasa.

"Pelaksanaan kena cara berperingkat-peringkat. Contohnya kalau sekolah kita tak boleh beri terus buka, mungkin cara berperingkat-peringkat dulu. Kalau tidak mungkin semua orang akan pergi ke stesen bas dan sebagainya," katanya.

Semasa sidang media itu, Noor Hisham berkata pihaknya berhasil dalam mengurangkan kes Covid-19 melalui fasa 1 dan 2 perintah kawalan pergerakan.

Justeru, katanya, fasa 3 penting bagi memastikan rangkaian penularan wabak itu diputuskan, katanya.

"Konsepnya mudah. Tinggal di rumah dan kurangkan jangkitan," katanya.

Lihat Komen
ADS