Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti empat subkluster jangkitan Covid-19 di empat buah madrasah dan sekolah tahfiz daripada kegiatan pengesanan kontak rapat kepada kes indeks perhimpunan jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, akhir Februari lalu.

"KKM telah mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi. Ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan NGO.

"Misalnya, hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes-kes indeks perhimpunan di Seri Petaling.

"Susulan daripada tindakan proaktif di lapangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah, beberapa subkluster jangkitan Covid-19 telah dikenal pasti di beberapa buah madrasah dan tahfiz," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut data KKM, seramai 195 orang telah dijangkiti wabak itu di empat madrasah tersebut, dan 92 daripadanya telah sembuh.

Berikut adalah empat subkluster tersebut:

Sub-kluster madrasah di Jerantut, Pahang

Jumlah yang disaring: 401 (297 pelajar, 104 kakitangan dan ahli keluarga mereka)

Kes positif : 62 kes (dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)

Kes sembuh: 20 kes

Subkluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang

Jumlah yang disaring: 291 (256 pelajar, 35 kakitangan)

Kes positif : 6 kes(dua orang masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar)

Kes sembuh: 4 kes

Subkluster madrasah di Sungai Lui, Selangor

Jumlah yang disaring: 282 (274 pelajar, 8 kakitangan)

Kes positif : 90 kes (dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara)

Kes sembuh: 67 kes

Subkluster madrasah di Jasin, Melaka

Jumlah yang disaring: 137 (122 pelajar, 15 kakitangan)

Kes positif: 37 kes (telah dimasukkan ke Hospital Melaka)

Kes sembuh: 1 kes

Dalam pada itu, Noor Hisham menggesa orang ramai agar tidak menyalahkan atau mendiskriminasi mana-mana kumpulan dalam krisis Covid-19.

Terdahulu, beliau turut mendedahkan beberapa kluster lain, termasuk melibatkan persidangan sebuah geraja di Sarawak, majlis perkahwinan dan seorang warga Malaysia yang pulang dari Itali.

"Orang ramai digesa untuk tidak menyalahkan atau diskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan berkaitan kluster Covid-19.

"Apa yang penting adalah kita bantu dalam pengesanan dan rawatan jangkitan Covid-19 di kalangan mereka, termasuk kontak dan anggota keluarga," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar memberi kerjasama dengan agensi kerajaan dalam usaha melawan wabak tersebut.

"Seperti yang telah disebut, tempoh dua minggu ini sangat penting di mana kerjasama semua pihak diperlukan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya lagi.

Setakat tengah hari ini, Malaysia merekodkan 4,683 kes Covid-19 dengan 76 kematian.

Sejumlah 2,108 pesakit telah sembuh dengan 2,499 lagi sedang menjalani rawatan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.