KKM kesan kluster baru di Kuantan
Hasil pendekatan tertumpu (targeted approach) yang dibuat dengan mengesan, menyaring dan menguji kumpulan sasar yang berisiko tinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Covid-19 baru di Kuantan, Pahang
Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak KKM telah mengenal pasti dua sub-kluster saling berkaitan dengan kluster berkenaan.
"Kes indeks (iaitu kes ke-4684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.
"Beliau kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 (iaitu abang kepada kes indeks).
"Kes ke-1575 kemudiannya telah menjangkiti 7 kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Jelas Noor Hisham, kluster berkenaan melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.
Sehingga 13 April 2020, 20 orang telah dikenal pasti di dalam kluster ini, iaitu: 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang; dua orang telah sembuh; tiga dirawat di unit rawatan rapi (ICU); dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1575).
Daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga anggota kesihatan yang terlibat dalam kluster Berkenaan.
Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat 339 kontak rapat telah dikenal pasti dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan hanya mendedahkan kluster jangkitan Covid-19 yang melibatkan jangkitan dengan jumlah besar dan terdapat kira-kira 25 kluster utama secara keseluruhan.
Beliau berkata 40 peratus daripada pesakit Covid-19 tergolong dalam kluster himpunan Sri Petaling.
"Kami tidak akan mengumumkan kluster kecil tetapi kami akan aktif menjalankan ujian.
"Terdapat juga 69 kes sporadic (rawak)," katanya.
Noor Hisham menjelaskan bahawa kes-kes sporadic bermakna bahawa sumber jangkitan tidak dapat dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau berkata perintah kawalan gerakan (PKP) telah membantu menghentikan peningkatan secara eksponen jangkitan baru.

