Lebih ramai bekas pesakit derma plasma darah
KORONAVIRUS | Seramai 12 pesakit yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 tampil mendermakan plasma darah mereka, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, sampel darah terbabit akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk uji kaji dan mungkin digunakan ke atas pesakit yang berada pada tahap kritikal.
“IMR akan melakukan kajian dan pentitratan (titration). Kalau ada keperluan, akan guna plasma tersebut.
"Setakat ini (masih di peringkat) penyelidikan awal. Jadi kita masih terlalu awal nak kata plasma itu boleh digunakan untuk pesakit kita.
“Tapi kalau ada keperluan penggunaan di peringkat hospital, mereka perlukan plasma, dan kita boleh titrat dan pekatkan antibodi dan sebagainya, mungkin kita akan guna untuk pesakit-pesakit tahap lima contohnya, yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU (unit rawatan rapi),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham menjawab soalan tentang perkembangan terkini kaedah rawatan percubaan ke atas pesakit Covid-19 menggunakan plasma diekstrak daripada bekas pesakit wabak tersebut.
Kaedah itu mula diguna pakai di China untuk merawat pesakit Covid-19, dengan menggunakan plasma yang diekstrak daripada pesakit yang telah pulih, memperkuat antibodinya sebelum diberikan kepada pesakit aktif.
Sementara itu, Noor Hisham turut ditanya tentang laporan bahawa Korea Selatan mencatatkan 116 pesakit yang kembali positif, setelah sebelumnya disahkan pulih daripada jangkitan.
Ia disyaki kes pengaktifan semula dan bukan jangkitan semula.
Kes positif lemah
Tentang hal itu, kata Noor Hisham, buat masa ini, tidak ada kes seumpama itu di Malaysia tetapi beliau tidak menolak kemungkinan untuk kejadian sedemikian berlaku.
Katanya, KKM telah menemukan pesakit disahkan positif meskipun sebelumnya didapati negatif dalam keputusan ujian berulang.
Bagaimanapun, kes-kes tersebut didapati disebabkan oleh “virus shedding” (penanggalan virus).
“Kita kena lihat sama ada kes positif itu positif yang kuat atau positif yang lemah.
“Kadangkala ia disebabkan oleh virus shedding. Kita ada tiga kes, termasuk kes warga Brunei yang telah dibenarkan keluar daripada hospital, tetapi apabila dia pulang ke Brunei dan diuji sekali lagi di sana, dia didapati positif.
“Bila kita hubungi makmal itu di Brunei, kita dapat tahu ia merupakan kes positif yang lemah. Jadi mungkin ia berlaku disebabkan virus shedding, apabila virus lemah yang masih ada di dalam badan, jadi seseorang pesakit itu masih boleh diuji positif," jelasnya.
Kata Noor Hisham, KKM turut memberikan kaunseling kepada pesakit yang telah pulih daripada jangkitan virus itu, mengenai kaedah melindungi diri daripada Covid-19.

