Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Salah lantik MP terajui GLC ketika rakyat bergelut cari makan'

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Perikatan Nasional untuk melantik semua ahli parlimennya menjadi pengerusi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai satu “jenayah” sedangkan rakyat sedang bergelut dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.

"Kamu bercakap tentang menolong rakyat miskin, kamu bercakap tentang kesulitan ekonomi (tetapi) pada masa yang sama, kamu bercakap tentang melindungi kepentingan ahli parlimen dan kroni kamu. Ini perlu dihentikan.

"Saya berpendapat bahawa (jika kamu) mempunyai seorang dua ahli parlimen dengan kelayakan luar biasa (untuk memimpin GLC), maka okay boleh dipertimbangkan. Saya tidak fikir ia menjadi satu isu utama.

"Tetapi jika kamu jadikannya sebagai peraturan, setiap ahli parlimen akan diberi jawatan tambahan, ganjaran tambahan sedangkan rakyat sedang bergelut untuk mencari makan - ini bagi saya, adalah satu jenayah, justeru kita akan menentang," katanya semasa ditanya pada persidangan akhbar dalam talian pagi ini.

Pada Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata, beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab mengendalikan GLC.

Katanya, mereka yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan GLC.

"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC ,” kata Takiyuddin.

Menurutnya, semua pelantikan perlu melalui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum disahkan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa teknokrat yang menerajui GLC dilaporkan dihentikan.

Antara mereka, ahli parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menggantikan veteran industri Bakke Mohd Salleh di Lembaga Minyak Sawit Malaysia manakala ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menggantikan peguam K Saraswathy di Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Turut mengalami nasib yang sama adalah bekas pengerusi Mara, Hasnita Hashim; bekas pengerusi Bank Rkayta, Noripah Kamso, bekas diplomat Noor Farida Ariffin dari Dana Pembangunan Sumber Manusia, bekas pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Zakri Khir dan ahli ekonomi Nungsari Ahmad dari Institut Penyelidikan Khazanah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS