Setahun berlalu, PAS sudah berubah?
Setahun sudah berlalu, kini muktamar PAS datang lagi. Esok sayap Pemuda dan Wanita PAS akan memulakan sidang mereka dan disambung oleh muktamar ke-52 pada hari Rabu hingga Jumaat ini. Apakah cabaran dan harapan yang akan dibawa oleh lebih 1,000 orang perwakilan kali ini?
Setahun sudah berlalu, kini muktamar PAS datang lagi. Esok sayap Pemuda dan Wanita PAS akan memulakan sidang mereka dan disambung oleh muktamar ke-52 pada hari Rabu hingga Jumaat ini. Apakah cabaran dan harapan yang akan dibawa oleh lebih 1,000 orang perwakilan kali ini?
Apakah mereka akan terus disogok dengan retorik para pemimpin mereka atau membincangkan usul-usul baru dan serius seperti penerimaan keahlian bukan Islam secara panjang lebar. Atau mungkinkah ada perwakilan yang berani mempersoalkan perubahan-perubahan yang dijanjikan pada muktamar yang lalu.
Kita semua maklum pada muktamar lalu, di dalam pemilihan yang dijalankan, barisan muda dan sederhana dalam PAS berjaya menguasai pucuk pimpinan parti. Tokoh-tokoh ulama ramai yang tewas dan ini memberi harapan kepada satu perubahan besar dalam parti Islam yang sering dicop sebagai berfahaman sempit dan ekstrim itu.
Namun selepas 12 bulan, banyak pihak termasuk ahli-ahli PAS sendiri mempersoalkan sejauh manakah perubahan pendekatan dan kepimpinan telah berlaku. Mereka bertanya setakat mana peranan dan pengaruh 'orang-orang muda' seperti Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Mohd Sabu, Datuk Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Salahuddin Ayob dalam menentukan hala tuju parti.
Malah ada di antara ahli-ahli PAS yang berpendapat PAS masih ditakuk lama walaupun sudah berlaku perubahan di pucuk pimpinannya. Mereka tidak nampak perubahan besar yang dijanjikan sedangkan ia amat perlu sebagai persediaan PAS untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Bagaiamanpun Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob menolak dakwaan yang mengatakan PAS tidak berubah dalam tempoh setahun ini.
Katanya banyak perubahan sedang dilakukan terutama dalam usaha mendekati pengundi muda dan orang bukan Melayu.
" Kita tidak boleh melakukan perubahan sekelip mata. Ini satu proses dan ia sedang berlaku. Pemuda PAS umpamanya banyak melakukan kerja-kerja amal terutamanya berkaitan dengan kepentingan umat Islam.
"Kita telah keluar dari kepompong kita. PAS kini tidak lagi hanya memperjuangkan isu Islam dan Melayu tetapi terbabit dalam pelbagai isu nasional dan antarabangsa.
Menurut Salahuddin, PAS mahu dilihat sebagai peneraju politik negara, khususnya apabila pergolakan dalam Umno semakin melebar dan ketidakpuasan hati rakyat berhubung harga minyak, harga barang dan tarif elektrik makin membuak.
"Kita juga mendahulu pihak lain dalam memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin. Pemuda PAS menjalankan kutipan derma untuk rakyat Palestin. Langkah ini membolehkan kita mendekati semua peringkat masyarakat Islam negara ini,"jelasnya.
Selain itu katanya, kepimpinan PAS cergas dalam membantu mangsa-mangsa Tsunami dan gempa bumi di Acheh dan Pakistan.
" Malah kumpulan sukarelawan dan doktor-doktor kita sedang berada di Yogjakarta sekarang ini untuk membantu mangsa gempa bumi di situ.
" Semua ini mendekatkan kita dengan rakyat. Kita menunjukkan PAS tidak hanya menegakkan agama malah turut memperjuangkan isu-isu ekonomi dan hak asasi manusia," tekannya lagi.
Berada di zon selesa?
Namun begitu semua penafian dan penjelasan Ketua Pemuda PAS itu masih tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Masih ramai ahli-ahli Pas yang tidak berpuas hati dan menganggap para pemimpin mereka terus berada di zon selesa.
Salahuddin mengakui tidak semua pemimpin PAS pro aktif dan usaha lebih gigih perlu dibuat untuk menggerakkan parti itu.
" Pemimpin Pemuda perlu keluar dari kepompong untuk melihat prespektif yang lebih besar dan perlu memainkan peranan menyelesaikan pelbagai masalah negara seperti isu remaja, gejala sosial, dadah, masa depan orang Melayu, memartabatkan Islam dan pengurusan ekonomi negara serta menangani rasuah.
Ahli parlimen Kubang Krian itu juga berkata, pucuk pimpinan PAS juga menyedari peranan pengundi bukan Islam dalam menentukan masa depannya di negara ini.
Oleh kerana itu Pemuda PAS turut mengatur program bersama pengundi bukan Islam.
Menurutnya, banyak majlis amal, sukan dan dialog diadakan dengan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam bagi menjelaskan pendirian PAS dalam isu-isu tertentu di samping beramah mesra.
" Kerancakan aktiviti-aktiviti ini menunjukkan dakwaan yang mengatakan kemunculan pemimpin muda tidak berkesan adalah tidak benar. Kamilah yang menggerakkan parti ketika ini. Sekarang kita ada kombinasi yang seimbang antara profesional dan ulama.
Perbezaan latar belakang dan usia bukan satu masalah kerana pemimpin PAS adalah orang yang sanggup berjuang dan berpegang pada ajaran Islam," ujarnya.
Sokongan bukan Islam
Kekalahan teruk yang dialami PAS pada pilihanraya umum 2004 menuntut perbahan besar dalam parti itu. Penolakan rakyat terhadap mereka memaksa para pemimpin PAS menerima hakikat politik berbilang kaum di negara.
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mengakui PAS perlukan sokongan bukan Islam untuk 'survival'nya.
Beliau yakin usaha PAS mendekati orang bukan Islam semakin diterima berdasarkan keputusan pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.
"Keputusan pilihanraya itu jelas menunjukkkan PAS telah mengubah pendekatan politiknya dan kita bukan hanya untuk orang Islam dan Melayu malah untuk semua warganegara Malaysia termasuk pribumi Sarawak.
" Jumlah undi yang diterima dalam pilihanraya itu menunjukkan kita semakin mendapat sambutan di kalangan bukan Islam.
Ini menunjukkan kita memang sedang berubah dan perubahan yang kita buat diterima rakyat," katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Benarkah PAS telah keluar dari imej lamanya. Para pemimpin dan ahli-ahli PAS sudah tidak lagi berjubah, berserban? Sudah mula mengenakan tali leher, berkot dan berimej global?
Tokoh PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakob bersetuju PAS sedang keluar dari kepompong dan imej negatif yang menghantuinya selama ini.
" Barisan kepimpinan baru PAS sedang membentuk satu imej yang boleh diterima oleh masyarakat pelbagai kaum negara ini.
Kita cuma mengubah pendekatan kita tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti yang berlandaskan Islam,"ujarnya.
Ulama lawan profesional?
Beliau juga menyangkal dakwaan yang mengatakan para pemimpin PAS masih berfahaman sempit dan wujudnya jurang perbezaan antara golongan muda, profesional dan ulama.
" Itu semua dakwaan yang mahu memburuk-burukkan PAS. Dalam PAS tiada perpecahan, tiada kem lama atau baru, semua ulama, profesional, muda dan tua adalah ahli PAS. Kami semua boleh duduk semeja untuk berbincang.
Perubahan pucuk pimpinan tidak bererti ada golongan yang akan terpinggir. Apa yang diputuskan oleh parti adalah secara kolektif,"jelasnya.
Beliau juga menolak tanggapan yang mengatakan pemimpin lama dan ulama dalam PAS enggan melepaskan parti kepada orang muda.
" Soal itu tidak timbul sama sekali. Pemimpin PAS termasuk Majlis Syura akur dengan keputusan pemilihan yang lalu. Kita tidak nampak sebarang masalah antara Presiden dengan timbalan atau naib-naib Presidennya.
Dalam jawatankuasa PAS Pusat pun segalanya berjalan dengan baik. Kalaupun ada perbezaan pendapat, itu perkara biasa dan itu tidak bermakna kita bertelagah atau berpecah,"ujarnya yang merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.
Beliau juga menegaskan pucuk pimpinan PAS sentiasa mengamalkan sikap terbuka, bersedia untuk berbincang dan menerima teguran.
"Sebagai contoh dalam isu penerimaan orang bukan Islam sebagai ahli PAS. Mursyidul Am PAS sendiri mencetuskan idea itu dan kita bersikap terbuka untuk membincangkannya.
Ini satu isu besar dan keterbukaan PAS akan terserlah apabila isu ini diterima oleh muktamar nanti,"ujarnya.
Menurutnya, ahli-ahli PAS selesa dengan pendekatan yang sederhana tetapi proaktif sekarang ini.

