Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar bertemu PM, bincang isu Covid-19
Diterbitkan:  Apr 14, 2020 8:53 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau telah bertemu dengan perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan beberapa perkara termasuk langkah yang diambil bagi membendung wabak Covid-19.

Mesyuarat itu kata Anwar berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

"Dalam pertemuan selama 45 minit itu, beliau jelaskan berkenaan langkah menangani Covid-19 dan saya menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat," katanya.

"Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan," katanya di Facebook.

Anwar, yang sebelum ini menggesa Muhyiddin membawa membentangkan pakej rangsangan RM250 bilion untuk dibahaskan di Parlimen, berkata beliau juga memaklumkan kepada perdana menteri bahawa pakej rangsangan berkenaan diterima baik.

"Namun harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau," katanya.

Anwar berkata dalam pertemuan itu Muhyiddin turut menyentuh mengenai persidangan Dewan Rakyat pada Mei 18 depan.

Terdahulu, Majlis Presiden PH menggesa Muhyiddin memanggil sidang khas parlimen minggu ini bagi merangka pendekatan dwipartisan dalam memerangi wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata langkah tersebut perlu diambil bagi mencari jalan melindungi pekerja dan menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang bakal kehilangan pekerjaan pada waktu terdekat, seterusnya menyelamatkan ekonomi negara.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS