Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka menjalankan siasatan dalaman berhubung aduan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendakwa mungkin berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan salah guna semasa beliau disiasat agensi itu.
Pada masa sama, SKMM menjelaskan, dakwaan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai pengambilan gambarnya sewaktu siasatan dijalankan bertujuan untuk direkodkan.
"SKMM ingin menjelaskan bahawa tindakan pegawainya yang mengambil gambar seorang bekas timbalan menteri semasa sesi rakaman percakapan baru-baru ini tidak menyalahi mana-mana SOP seperti yang didakwa.
"Pengambilan gambar tersebut adalah sebahagian daripada tatacara untuk tujuan rekod sahaja.
"Bagaimanapun, gambar berkenaan berkemungkinan telah dikongsikan dengan pihak luar," kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fuziah berkata, semasa beliau disiasat SKMM dan polis, salah seorang pegawai suruhanjaya terbabit mengambil gambarnya.
Imej berkenaan kemudian didapati dimuat naik ke akaun Instagram salah satu bahagian Umno.
"Satu siasatan dalaman kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
"SKMM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku oleh pegawainya dan tindakan disiplin akan diambil jika individu bertanggungjawab itu didapati bersalah," menurut kenyataan itu lagi.
Polis pada Jumaat lalu mengambil keterangan Fuziah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar di Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata catatan bersama sebuah rakaman video berhubung dakwaan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama "Fuziah Salleh".
