11 individu hadiri pesta liar di homestay Masai kena tahan
Polis menahan 11 warga tempatan - termasuk seorang remaja berusia 15 tahun - kerana terlibat dalam pesta liar ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, awal hari ini.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 15 hingga 23 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira jam 12.45 tengah malam.
Serbuan tersebut dilakukan di sebuah kemudahan homestay di kawasan Masai, Johor Bahru.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sejumlah dadah jenis ketamine seberat 2.08 gram dan empat biji pil ecstasy.
Menurut Ayob Khan, hasil semakan rekod lampau mendapati dua lelaki dan seorang perempuan yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
“Hasil siasatan awal turut mendapati kesemua suspek bukanlah penghuni di premis berkenaan, selain gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati tujuh lelaki dan tiga wanita positif dadah jenis ketamine dan methamphetamine.
Ayob Khan berkata kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
- Bernama

