Malaysiakini
BERITA

Amerika pulangkan AS$300 juta lagi dana 1MDB ke Malaysia

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Apr 2020, 2:55 pagi

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa sebanyak US$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

“Pada 30 Okt 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pemulangan US$300 juta itu bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah US$620 juta.

Perdana Menteri berkata proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah US$300 juta ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

-Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.