Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Usaha dan tindakan beberapa anggota polis di Kuala Lipis, Pahang yang membekalkan makanan dan minuman kepada seorang warga emas yang dijumpai tersadai di tepi jalan pada Isnin lalu sebelum menghantarnya pulang berakhir dengan cerita sedih.

Ketua Balai Polis Kuala Lipis Mohd Razis Mohd Wahid berkata, semalam sepasukan anggota polis yang diarahkan untuk meninjau keadaan lelaki berusia 74 tahun itu mendapati dia sudah meninggal dunia.

“Pagi semalam, saya suruh anak buah saya pergi pusing (lawat). Rumah dia dalam ladang durian. Sampai-sampai, panggil tak ada orang menyahut.

“Bila pecah pintu, tengok dia dah keras (meninggal dunia) dalam bilik.

“Mungkin dia nak pergi ambil air, sebab dia terbaring tempat dia nak minum. Bilik dia tu ada dapur, katil. 10x10, kecil saja. Kita tak panggil rumah tu, (kita) panggil pondok. Air tak ada, elektrik tak ada kawasan tu,” katanya.

Menurut Mohd Razis, lelaki itu tinggal seorang diri dan tidak mempunyai anak dan isteri.

Isnin lalu, tular video yang memaparkan beberapa anggota dan pegawai polis membantu seorang warga emas di Kuala Lipis.

Seorang pengusaha bengkel motosikal berhampiran, Che Amirus Syafik, berkata bahawa dia ternampak seorang lelaki tua yang terbaring dan tersadai di tepi jalan serta bertindak membantu mangsa.

Katanya, lelaki tua itu turut memberitahunya bahawa dia sudah beberapa hari tidak makan dan terpaksa keluar mencari makanan.

Che Amirus kemudian dilaporkan membelikan beberapa buku roti dan terus memaklumkan perkara tersebut kepada balai polis berdekatan.

Mengulas kejadian itu, Mohd Razis berkata bahawa beliau dan anggotanya menjumpai mangsa duduk di tepi jalan kerana ingin membeli makanan.

“Saya dan beberapa anggota (polis) tolong dia hari Isnin, dalam pukul 1 petang. Kita jumpa dia duduk tepi jalan, lebih kurang dalam satu kilometer dari rumah dia.

“Tanya-tanya dia, dia kata dia penat, bukan sakit. Dia keluar jalan kaki nak beli makanan.

“Jadi kita hantar dia balik rumah dan belikan makanan untuk dia beras, Maggie (mee segera), air mineral 1 kotak,” katanya.

Menurutnya, pihak polis kemudian mengusung lelaki itu ke dalam kereta dan menghantarnya pulang ke rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Azli Mohd Noor berkata, laporan bedah siasat mendapati bahawa lelaki itu mati akibat jantung yang tersumbat.

"Mayatnya telah diserahkan kepada saudara-mara untuk pengkebumian," katanya.

Menurut Azli, ketua kampung yang dikenali sebagai Tok Empat Kuala Kechau sebenarnya, semalam telah ke rumah mangsa bersama polis.

"Polis dan Tok Empat (Kuala) Kechau pergi ke rumah mangsa untuk memantau keadaannya tetapi dia gagal membuka pintu.

"Polis kemudian memutuskan untuk pecah masuk dan mendapati mangsa terbaring di lantai," kata Azli.

Lihat Komen
ADS