Seorang calon presiden MIC mendakwa, MIC kini menjadi parti yang berkepentingan diri dari cawangan hinggalah peringkat atasan dan semakin ramai pemimpin tidak berkomunikasi atau berhubung dengan akar umbi.

Sambil menegaskan perlunya ada perubahan, Datuk M. Muthupalaniappan berkata: "Malangnya putus hubungan. Pemimpin cawangan perlu berhubung dengan ahli biasa, parti perlu memenuhi kehendak masyarakat,"

Veteran MIC dan peguam berusia 65 tahun itu, sudah menyertai parti berkenaan 37 tahun lalu. Beliau dipilih sebagai naib presiden bagi penggal 1997-2000 apabila mendapat undi kedua terbanyak daripada lima calon yang bertanding.

Dalam pemilihan itu Datuk G. Palanivel, mendapat undi tertinggi (998). Kali ini Palanivel menjadi calon pilihan presiden untuk jawatan nombor dua parti mencabar penyandang Datuk S. Subramaniam.

Muthupalaniappan yang suatu ketika dulu merupakan teman rapat Samy Vellu, telah menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti selama 21 tahun. Beliau diketepikan oleh pemimpin parti itu dan tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum 1999.

'Peluang cerah'

"Saya selalu dipinggirkan dan tidak diberi semangat untuk bekerja selain tidak diberi tugas di peringkat jawatankuasa. Saya menang (jawatan naib presiden) walaupun dirasa tidak mungkin," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai peluangnya kali ini, beliau ternyata yakin dan berkata peluangnya "sangat baik berdasarkan respons terhadap apa saja yang saya lakukan".

Muthupalaniappan adalah antara tujuh calon yang bertanding tiga jawatan naib presiden MIC dalam pemilihan parti itu pada 24 Jun ini.

Enam pemimpin lain ialah penyandang, Datuk S Veerasingham dan Tan Sri K.S. Nijhar, Setiausaha Agung MIC Datuk S Sothinathan, Ketua MIC Kuala Lumpur Datuk V.K.K. Teagarajan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Rusa E. Yohevel dan Alex Thiagarasan dari Shah Alam.

Palanivel adalah calon presiden untuk jawatan timbalan presiden manakala Veerasingham, Nijhar dan Sothinathan adalah calon pilihan presiden untuk jawatan naib presiden.

Bergerak sendirian

"Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja, saya seorang anggota pasukan. Saya sokong pemimpin yang boleh menyumbang dan meningkatkan kaum India, saya tidak memihak kepada sesiapa yang menekan masyarakat menggunakan taktik tipu helah," katanya.

Muthupalaniappan yang bergerak bersendirian, menganggap pencalonannya memberi pilihan yang lebih luas kepada 1,387 perwakilan dalam pemilihan parti dua minggu lagi.

Calon naib presiden itu juga berkata MIC perlu menjadi sebuah parti yang lebih demokratik dan telus, dengan kepimpinan yang bersatu bagi menggerakkan agenda sosio-ekonomi kaum India Malaysia.

Katanya, ini kerana masyarakat di peringkat akar umbi mahu melihat MIC yang lebih kuat dan dinamik bagi meneruskan program sosial yang diperkenalkan kepimpinan sekarang yang diketuai presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu.

"Terdapat arus perubahan untuk melihat proses demokrasi dan ketelusan sepenuhnya dalam parti. Satu perubahan di mana anggota dan pemimpin boleh menjalankan tugas masing-masing tanpa tekanan atau berat sebelah," katanya.