Taman Zooview dan kawasan sekitarnya yang terletak berhadapan kawasan tragedi tanah runtuh Kampung Pasir, Hulu Klang, menghadapi ancaman lebih buruk sekiranya tembok penahan tidak dibina secepat mungkin.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata pihak berkuasa telah mengarahkan pemaju terbabit supaya menyegerakan pembinaan tembok berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk di taman berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun, katanya, pemaju projek perumahan, terutama di Ukay Bestari, mendakwa mereka tiada peruntukan dan meminta kerajaan negeri memberi bantuan kewangan sekiranya ia mahu dipercepatkan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan Siri 1/2006 di Sepang semalam, Dr Mohd Khir berkata, krajaan negeri tidak akan melayan permintaan pemaju berkenaan kerana mereka perlu bertanggunjawab atas projek terbabit.

Menurut laporan Bernama, Dr Mohd Khir berkata pemaju terbabit sebelum ini telah dinasihatkan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) supaya membina tembok berkenaan bagi menahan cerun bukit di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Pindah penduduk

"Walaupun tembok dibina, namun akibat kelewatan pembinaannya iaitu setahun kemudian selain tidak menepati spesifikasi pembinaan seperti yang diarahkan tembok itu runtuh dalam tragedi Kampung Pasir Rabu lalu, yang mengorbankan empat orang, termasuk dua kanak-kanak.

Dr Mohd Khir berkata kerajaan negeri telah meminta Ikram menjalankan siasatan di kawasan terbabit termasuk ke atas cerun dan kawasan runtuhan, terutama di Taman Zooview sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Kerajaan negeri akan menunggu laporan penuh hasil siasatan Ikram mengenai keadaan pergerakan tanah di situ sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan pihak lain yang berkaitan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar itu dilaporkan berkata, kerajaan negeri mempunyai bukti kukuh mengenai kesalahan pemaju, kontraktor dan jururunding projek pembangunan di kawasan itu, termasuk pemaju Taman Zooview yang gagal menyediakan sistem perparitan dan kelewatan membina tembok penahan.

Berikutan tanah runtuh itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis kepada penduduk taman itu Ahad lalu supaya mengosongkan rumah masing-masing.