Bersih, Engage sasar RM100,000 untuk projek #MakanKongsi
Selepas melebihi sasaran awal untuk mengumpul sebanyak RM300,000, NGO Bersih dan Engage memerlukan kutipan tambahan sebanyak RM100,000 bagi membantu golongan memerlukan sepanjang fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sehingga hari ini, kumpulan itu berjaya mengutip RM363,067 untuk inisiatif #MakanKongsi bagi membantu memberi makan kepada golongan tidak bernasib baik pada fasa pertama dan kedua PKP.
"Kami amat bersyukur dan ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada 1,214 penderma yang telah bermurah hati membantu mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik semasa tempoh PKP," kata mereka dalam satu kenyataan.
Merancang untuk menyediakan hidangan dua kali sehari dalam tempoh PKP, kumpulan itu berkata jumlah yang diperoleh setakat ini membantu 6,000 orang daripada golongan tidak berkemampuan.
"Melalui 26 rakan-rakan NGO dan individu, kami telah menyediakan baucar makanan, bantuan wang tunai, dan barangan keperluan kepada individu, keluarga dan penduduk kampung yang berisiko tinggi kelaparan.
"Rakan kongsi NGO ini menyantuni golongan miskin bandar, Orang Asli / Asal, pekerja asing, pelarian, ibu tunggal, OKU dan kumpulan yang lain," kata mereka.
Bagaimanapun, pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk melanjutkan PKP dari 14 April hingga 28 April, memerlukan mereka mengumpul dana tambahan untuk inisiatif #MakanKongsi.
"Kebanyakan dari komuniti ini masih akan menghadapi risiko kerana ramai daripada mereka yang makan gaji harian yang bergantung kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk bekerja.
"Mereka akan menghadapi kelaparan kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan sehingga PKP ditarik balik," kata kumpulan itu.
Sehubungan itu, Bersih 2.0 dan ENGAGE berkata inisiatif #MakanKongsi adalah untuk mengutip sumbangan RM100,000 bagi meneruskan kerja-kerja pengagihan makanan.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan NGO yang berwibawa dan individu yang amat komited untuk memastikan tidak ada orang yang lapar dalam tempoh ini.
"Setiap sen yang anda derma kepada kami akan digunakan untuk menyediakan makanan untuk komuniti ini dan tidak akan digunakan untuk menampung kos pentadbiran atau logistik," tegas mereka.
Sumbangan boleh disalurkan melalui Bold.pay atau melalui bank:
Bank: Maybank (PJ Old Town Branch).
Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd.
Nombor akaun: 512295102931.
Rujukan: MakanKongsi.

