Sekumpulan ahli perniagaan Australia akan memfailkan tuntutan di Mahkamah Agung New South Wales terhadap Sultan Brunei dan kakitangan peribadinya kerana didakwa melanggar kontrak membeli senashkah al-Quran tulisan tangan berusia 400 tahun, yang bernilai berjuta-juta ringgit.

Akhbar The Australian melaporkan ahli perniagaan berkenaan telah membeli naskhah al-Quran bernilai jutaan dollar itu yang disimpan di dalam sebuah bekas perak bertatahkan permata bersaiz kotak mancis daripada seorang bekas kolonel KGB di Russia tahun lalu.

Mereka membawanya pulang ke Australia dengan rancangan untuk menjualnya kepada pembeli yang menawarkan harga tertinggi.

Para pelabur yang berpengkalan di Sydney itu telah menarik perhatian beberapa pembeli dari Lebanon dan Kuwait tetapi membuat keputusan untuk mengadakan rundingan dengan satu kumpulan yang mereka percaya ejen kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang dikatakan mahukan membelinya sebagai hadiah perkahwinan untuk isteri barunya.

Akhbar itu melaporkan, selepas beberapa lawatan ke istana Sultan Brunei, Michael McGurk, David Rahme dan Hugh Millikin menyangka mereka telah dapat menyelesaikan urusan perniagaan bernilai AS$8 juta menerusi setiausaha peribadi dan sulit Sultan Brunei, Pehin Nawawi, anak angkat Nawawi Sunny Chai serta Pengarah Pengangkutan dan Komunikasi Brunei Pangerang, Yakub Othman.

Dalam laporannya, Bernama memetik akhbar The Australian bahawa ahli perniagaan berkenaan mendakwa telah membelanjakan ribuan dollar untuk pergi ke Brunei dan negara-negara Asia lain bagi merundingkan perkara itu dan mengikut arahan istana berkenaan, termasuk membuka satu akaun bank di Singapura.

Tunggu bayaran

Bagaimanapun, menurut akhbar tersebut, selepas urusan itu hendak disempurnakan, mereka mendakwa wang itu tidak dibayar.

Naskhah al-Quran yang bersalut kulit dengan bekas perak yang penuh hiasan itu, masih disimpan di dalam peti simpanan selamat di Sydney.

Apabila urusan perniagaan itu seperti tidak menjadi kenyataan, Kolonel Russian itu kini sedang menunggu bayarannya dan kumpulan ahli perniagaan itu terlibat dalam kes mahkamah.

Selepas beberapa bulan, McGurk semalam berkata mereka telah mengarahkan peguamcara untuk menfailkan pernyataan tuntutan di Mahkamah Agung NSW untuk menyaman sultan berkenaan dan kakitangan peribadinya kerana melanggar kontrak.

Rahme berkata keseluruhan proses rundingan itu melibatkan kewangan dan menyakitkan hati.

"Mereka telah memberikan kami harapan dan saya fikir kami telah ditipu," katanya kepada akhbar berkenaan.

Fail tuntutan

Peguam Harry Snow berkata beliau telah diarahkan untuk menfailkan pernyataan tuntutan itu di Mahkamah Agung NSW secepat mungkin.

Para peguam Sultan Brunei tidak dapat dihubungi akhbar The Australian tetapi di dalam surat kepada Snow, mereka telah menolak segala tuntutan.

"Jika ada tuduhan diterima pada nilai muka, mereka tidak mendedahkan apa-apa tindakan bona fide terhadap pelanggan kami," kata Davinder Singh, seorang peguam bersama dengan Drew and Napier di Singapura.

Konflik itu bermula apabila ahli peniagaan Australia itu melihat naskhah al-Quran yang jarang ditemui itu semasa urusan perniagaan di Russia.

Ia telah disahkan tulen oleh Ahmad Shboul, Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Islam Universiti Sydney.

Ahmad Shboul menganggapnya sebagai naskhah yang luar biasa dan berkata penanda emas pada naskhah itu menandakan ia mungkin dibuat untuk seorang kenamaan sebagai objek suci bagi kerahmatan.