MP Labis ingatkan sukarelawan pada peraturan ketat PKP
Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong, menggesa sukarelawan yang terlibat dengan kerja amal supaya tetap mematuhi peraturan dibuat mengikut perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa menjalankan tugas.
Kenyataan itu dibuat selepas Pang mendakwa lima sukarelawan dari kawasannya ditahan pihak berkuasa yang menerima aduan daripada orang awam.
Sebelum itu, sukarelawan terbabit dikatakan terbabit dalam kerja menyah kuman di kawasan berkenaan.
"Sekumpulan lima sukarelawan muda sibuk membuat semburan nyah kuman di seluruh kawasan Labis selama lebih dua minggu.
"Malangnya semasa dalam perjalanan pulang malam semalam - selepas membuat semburan nyah kuman di Labis - mereka ditahan polis di sekatan jalan raya kira-kira jam 8.30 malam kerana disyaki melanggar PKP.
"Walaupun memberi penjelasan kepada polis dan tugas menyah kuman berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa, mereka tetap direman di lokap polis di Segamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pang menjelaskan beliau menghubungi polis untuk merayu agar sukarelawan berkenaan dilepaskan.
Ada yang tak mahu menghargai
Bagaimanapun, katanya, hari ini beliau dimaklumkan sukarelawan terbabit didakwa di mahkamah.
Pada masa sama Pang menjelaskan, sukarelawan berkenaan secara tidak sengaja terlupa mengenai syarat ketat PKP yang dikenakan ke atas mereka kerana sibuk dengan jadual yang disusun.
Sementara itu Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sukarelawan terbabit ditahan kerana melanggap PKP.
Katanya mereka melakukan kerja semburan nyah kuman tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Apabila ditanya mengenai campuran bahan kima yang digunakan, mereka juga tak dapat memberi penjelasan.
"Selain itu mereka tidak memakain pakaian perlindungan diri (PPE)," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam perkembangan sama Pang berkata beliau sedih apabila dimaklumkan tindakan polis ke atas petugas berkenaan dibuat kesan aduan daripada orang awam.
"Malangnya sesetegah orang tidak menghargai niat baik sukarelawan berkenaan. Dan wabak ini menunjukkan sikap buruk sesetengah orang.
"Saya dengan ikhlas menasihatkan kepada mereka yan didakwa membuat aduan berkenaan, lihat diri anda sendiri dan tanyakan: apa yang kamu sudah buat demi keselamatan penduduk Labis.
"Jika kamu tak berniat membantu, tolong jangan tikam belakang sukarelawan terbabit," katanya.

