Covid-19: Kulai zon merah ke-29
Kulai telah menjadi zon merah Covid-19 ke-29 setelah mencatat 41 jangkitan secara kumulatif, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kulai adalah satu daripada lima zon merah di Johor. Yang lain adalah Kluang (221 kes), Johor Bahru (187), Batu Pahat (52) dan Muar (47).
Zon merah merujuk kepada daerah yang mencatat lebih daripada 40 kes Covid-19 secara kumulatif.
Daerah yang mencatatkan 20 hingga 40 kes dilabel sebagai zon jingga sementara daerah yang mencatat di bawah 20 kes disenaraikan sebagai zon kuning.
Zon hijau pula digunakan untuk menggambarkan daerah yang bebas dari jangkitan Covid-19.
Berdasarkan data kumulatif, zon merah lain adalah Rembau, Seremban, Jasin, Melaka Tengah, Titiwangsa, LEmbah Pantai, Kepong, Cheras, Putrajaya, Hulu Selangor, Sepang, Klang, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Hilir Perak, Kinta, Kota Bharu, Kuching, Kota Samarahan, Kota Kinabalu dan Tawau.
Bagaimanapun, angka kumulatif mungkin tidak menggambarkan keadaan Covid-19 dengan tepat kerana banyak yang telah pulih.
Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata pihak mereka sedang mempertimbangkan untuk mentakrifkan semula zon berdasarkan angka kes aktif, atau data pesakit yang masih belum sembuh dan boleh menjangkiti orang lain.
Bagaimanapun, setakat ini ia belum dilaksanakan.
Tinjauan oleh Malaysiakini mengenai data kes aktif mendapati bahawa lebih daripada satu pertiga, atau 11 dari zon merah kini sebenarnya mempunyai kurang dari 40 kes aktif.
Begitu juga, walaupun Kulai mempunyai 41 kes kumulatif, hanya 19 yang masih aktif.

