Para ulama besar Islam berbelah bahagi mengenai hukum pernikahan misyar yang kini menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Menurut Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mohamad Akram Laldin, ada antara mereka yang berpendapat pernikahan misyar adalah haram. Manakala sekumpulan ulama lagi berpendapat ianya diharuskan tetapi tidak digalakkan.

Katanya, bekas Mufti Arab Saudi Sheikh, Abdul Aziz Ibn Baz; Sheikh Al Azhar, Sheikh Muhamad Syed Tantawi dan bekas Mufti Mesir, Sheikh Nasr Farid mengatakan pernikahan misyar itu hukumnya harus.

Manakala Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi dari Qatar, Dr Wahbah al-Zuhaily (Syria) dan Imam Masjid al Haram, Sheikh Saud Shurim mengatakan pernikahan misyar itu hukumnya harus tetapi tidak digalakkan.

Sheikh Nasir al-Din Albani dari Jordan pula sependapat dengan Sheikh Abd. Aziz Musnad (Arab Saudi) dan Profesor Dr Muhamad al-Zuhaili (Syria) mengatakan bahawa pernikahan misyar adalah haram dalam hukum Islam.

Dr Mohamad Akram menyatakan demikian dalam kertas kerja yang diedarkan wacana pernikahan misyar anjuran Jamaah Islah Malaysia (JIM) di ibu negara hari ini.

Syarat tambahan

Menurutnya, misyar adalah pernikahan biasa yang menepati syarat-syarat serta rukun-rukun nikah. Dalam pernikahan misyar, isteri dengan rela melepaskan hak menuntut nafkah zahir dari lelaki yang dikahwininya.

"Perlepasan hak di atas diletakkan sebagai salah satu syarat tambahan dalam nikah. Pengiktirafan kedua mengenai nikah ini ialah isteri melepaskan hak gilirannya untuk bersama suami dalam perkahwinan poligami," tambahnya.

Menurut Dr Mohamad Akram lagi, perkataan misyar diambil dari perkataan Arab 'sayr' yang bermaksud berjalan.

"Menurut kebiasaannya, dalam nikah misyar, suami akan pergi (berjalan) menemui isterinya dalam masa lapangnya. Dari sini timbulnya perkataan misyar.

"Penggunaan istilah ini dipopularkan di kalangan masyarakat Arab untuk membezakan nikah bersyarat (tidak menuntut nafkah zahir serta tempat tinggal) dengan nikah biasa tanpa syarat di atas," katanya.

Dalil nikah misyar diharuskan

Dr Mohamad Akram berkata, hujah serta dalil bagi pendapat yang mengharuskan pernikahan misyar ialah:

1- Nikah ini ialah nikah yang memenuhi segala rukun serta syarat, maka tiada sebab mengapa ianya tidak diharuskan.

2- Syarat yang diletakkan, iaitu wanita dengan rela hati melepaskan haknya terhadap nafkah zahir adalah syarat yang sah dan tidak bertentangan dengan tujuan serta objektif perkahwinan.

3 - Sesuai dengan situasi tertentu: Contohnya, ibu tunggal yang memerlukan sokongan moral serta teman hidup dan tidak memerlukan sokongan material; dan wanita yang mampu menyara diri sendiri dan hanya memerlukan teman hidup.

4- Salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW Saudah binti Zam'ah r.a pernah memberi hak gilirannya kepada Aisyah r.a. Ini menunjukkan bahawa wanita berhak untuk tidak menuntut sesuatu yang ditetapkan oleh syarak kepada mereka.

5- Tidak ada dalil al-Quran atau Sunnah yang mengharamkan nikah jenis ini.

Dalil harus tetapi tidak digalakkan

Menurut Dr Mohamad Akram, hujah serta dalil pendapat yang mengharuskan pernikahan misyar tetapi tidak digalakkan adalah:

1. Sama seperti pendapat pertama, cuma mereka menyatakan nikah ini, walaupun sah dari segi hukumnya, tetapi boleh menyebabkan lelaki mengabaikan tanggungjawab mereka yanglain seperti memberi kasih sayang, memastikan wanita hidup dalam keadaan sempurna serta tanggungjawab lain sebagai seorang suami.

2. Walaupun pernikahan misyar tidak menepati salah satu objektif perkahwinan, iaitu memberi nafkah zahir, tetapi ianya tidak menjadi sebab mengapa perkahwinan itu tidak sah. Adalah lebih sempurna perkahwinan menepati semua objektifnya.

3. Dr Yusuf al-Qardawi menyarankan agar syarat tersebut tidak ditulis dalam akad supaya ianya menjadi persetujuan lisan antara pasangan dan bukannya dipaksa.

Dalil nikah misyar diharamkan

Menurut Dr Mohamad Akram, dalil serta hujah pendapat ketiga bahawa pernikahan misyar itu haram ialah:

1. Syarat yang diletakkan adalah tidak sah dan membatalkan nikah kerana syarat tersebut bertentangan dengan objektif syarak dalam perkahwinan yang diterangkan oleh al-Quran (Al-Rum: 21).

2. Kesan negatif dalam perkahwinan ini lebih banyak daripada kesan positif.

3. Penghinaan terhadap wanita.

4. Mengambil kesempatan terhadap situasi yang dialami oleh wanita..

Pandangan fiqh mengenai peletakan syarat dalam akad nikah, Dr Mohamad Akram berkata, secara umumnya semua mazhab berpandangan, sekiranya syarat yang diletakkan adalah bertepatan dengan objektif perkahwinan, maka ianya dibolehkan.

"Sekiranya syarat tersebut bertentangan dengan objektif serta maksud perkahwinan, maka ianya terbatal dan kebanyakannya menyatakan akad sah tetapi syarat tersebut tidak terpakai," tegasnya.

Syarat-syarat

Sehubungan itu, beliau berkata, contoh syarat yang boleh diterima ialah:

1. Suami menyediakan tempat tinggal berasingan dan tidak tinggal bersama keluarga suami atau isteri.

2. Mensyaratkan mahar dengan kadar tertentu;

3. Syarat agar suami/isteri tidak menyuruh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum syarak seperti suami menyuruh isteri yang bertudung membukanya.

4. Syarat sekiranya suami tidak berlaku adil dengan isteri-isterinya, maka isteri berhak menuntut cerai.

5. Isteri akan difasakkan sekiranya suami meninggalkannya selama tempoh tertentu (lafaz taklik).

6. Syarat agar isteri/suami tidak berpenyakit dengan penyakit tertentu seperti Aids dan sebagainya.

Manakala contoh yang ditolak pula, kata beliau, ialah:

1. Memberi hak talak kepada isteri.

2. Isteri mensyaratkan agar suami tidak menyetubuhinya.

3. Meletakkan tempoh tertentu untuk perkahwinan (nikah muta'ah).