Malaysiakini
BERITA

Bung: PN Sabah lebih kukuh jika PM sahut seruan Zahid

Zikri Kamarulzaman

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Apr 2020, 7:30 pagi

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan dapat membantu mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya menyahut seruan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik beberapa pemimpin Umno Sabah bagi mengisi jawatan di peringkat persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada surat ditulis Ahmad Zahid bertarikh 16 April yang menuntut Muhyiddin melantik beberapa pemimpin Sabah termasuk Bung bagi mengisi jawatan berkenaan.

Zahid secara khusus menamakan Bung yang kini menghadapi perbicaraan kes rasuah agar dilantik sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Bung berkata beliau baru sahaja mengetahui mengenai surat berkenaan.

Bagaimanapun katanya beliau menyokong tuntutan Zahid.

"Semestinya demi rakyat sabah dan memperkukuhkan kerajaan PN di negeri sabah dalam persiapan menghadapi PRU akan datang," kata Bung kepada Malaysiakini.

Dalam surat sama yang dilihat Malaysiakini, Ahmad Zahid turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala Abdul Rahman Dahlan, dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Abdul Rahman merupakan menteri di Jabatan Perdana menteri semasa era kerajaan BN yang diterajui Najib Razak.

Turut disenaraikan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkap ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Jawatan berkenaan kosong selepas Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Fong Hin disingkirkan dari LPA berkuat kuasa 1 April. 

Dalam surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata beliau menyampaikan cadangan daripada Umno Sabah selepas berbincang dengan kepimpinan parti di negeri itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan