Wanita JIM sokong nikah misyar dengan syarat...
Walaupun perkahwinan misyar terdedah kepada penyelewengan tetapi ia mempunyai kebaikan terutama kepada kaum wanita, kata Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj.
Walaupun perkahwinan misyar terdedah kepada penyelewengan tetapi ia mempunyai kebaikan terutama kepada kaum wanita, kata Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj.
Katanya, Wanita JIM menyokong amalan perkahwinan misyar tetapi dengan syarat wujud prosedur yang ketat dan perjanjian antara pasangan suami isteri terbabit dibuat secara bertulis.
Perkahwinan misyar bermaksud isteri dengan rela melepaskan hak menuntut nafkah zahir dari lelaki yang dikahwininya. Perlepasan hak ni merupakan satu syarat tambahan dalam perkahwinan tersebut.
"Wanita JIM menyokong perkahwinan misyar tetapi ia tidak digalakkan dan jika mahu dilakukan, ia hendaklah tertakluk kepada undang-undang yang ketat untuk mengelak penyelewangan.
"Pasangan terbabit tetap mempunyai runag untuk menyeleweng. Wanita menggunakan kuasa harta manakala lelaki pula menyeleweng kerana mereka diperlukan oleh wanita berpangkat yang berusia," katanya ketika menutup wacana nikah misyar anjuran JIM di ibu negara hari ini.
Sebanyak tiga kertas kerja mengenai perkahwinan misyar telah dibentang dan dibincangkan dalam wacana sehari itu.
Kertas kerja
Para pembentang kertas kerja tersebut ialah Naib Presiden Kanan Akademik, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom (Keperluan psiko-spiritual fisiologi insan dan kajian kes) dan Perunding Syariah JIM, Profesor Madya Alias Othman (Kesan dan implikasi penikahan misyar).
Sementara itu, Dr Mohamed Hatta berkata, perkahwinan secara misyar sudah lama diamalkan di negara Arab tetapi ia amat asing di Malaysia.
Katanya, penghalang utama kepada perkahwinan misyar di negara ini ialah budaya orang Melayu yang tidak mengamalkannya.
"Mungkin di kalangan masyarakat orang Melayu telah berlaku (perkahwinan) misyar ini, tetapi ia dibuat secara sembunyi, menyebabkan orang tidak tahu mengenai perkara itu," katanya.
Dr Mohamad Hatta berkata, sehingga hari ini, Majlis Fatwa Kebangsaan belum mengeluarkan sebarang fatwa mengenai perkahwinan misyar.
Bagaimanapun, katanya, sudah sampai masanya masyarakat Melayu memikir dan mengamalkan perkahwinan misyar kerana keadaan hari ini di mana ramai wanita tidak kahwin walaupun sudah lanjut usia.
"Misyar cukup mudah untuk diamalkan kerana ia hanya membabitkan perjanjian di antara lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin," katanya.
Golongan profesional
Seorang lagi ahli panel, Prof Madya Alias pula berkata, memang sudah ada golongan profesional di negara ini yang mengamalkan perkahwinan misyar walaupun jumlahnya tidak besar.
Pada waktu dulu, katanya, perkahwinan misyar tidak diamalkan kerana wanita tidak mempunyai harta untuk menanggung suami.
Katanya, oleh kerana zaman telah berubah di mana ramai wanita yang mempunyai kemampuan menanggung suami, maka perkahwinan misyar boleh diamalkan secara meluas di negara ini.
Perkahwinan misyar juga, tambahnya, dapat mengelak anak luar nikah akibat daripada lelaki tidak mampu berkahwin atas sebab faktor ekonomi.
Semasa sesisoal jawab, seorang mahasiawa Yusni Yusof bertanya sama ada boleh atau tidak perkahwinan misyar dilakukan berdasarkan kredibiliti lelaki yang akan dikahwini oleh wanita terbabit.
Ketika menjawab soalan tersebut, Dr Mohamad Hatta berkata, wanita perlu memilih lelaki yang baik supaya perkahwinan misyar itu membahagiakan kedua-dua belah pihak.
Katanya, memang ramai lelaki yang mencari kesempatan tetapi golongan wanita harus bijak memilih kerana mereka diberi peluang untuk mendapatkan lelaki yang dikehendakinya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.