Pemilihan pucuk pimpinan MIC tinggal kurang daripada tiga minggu lagi dan semalam Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu mahu perwakilan memilih pemimpin yang memiliki empat elemen utama Konsep, Cekap, Hubungan dan Penumpuan atau 4C.

"Saya telah menekankan kepada para perwakilan MIC bahawa pemimpin yang akan mereka pilih mestilah ada 4C," katanya dalam program bicarawara "Fast Forward" di RTM kelmarin.

Samy Vellu berkata pemimpin yang cekap adalah mereka yang telah membuktikan kemampuan mereka kepada komuniti dan parti, bukan hanya apabila pilihanraya semakin hampir.

"MIC perlukan pemimpin sepenuh masa, yang berjuang untuk komuniti. Inilah yang saya usahakan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Samy Vellu juga berkata, ahli MIC terus memberikan kepercayaan kepadanya apabila dipilih semula tanpa bertanding pada 5 Mac lalu bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam menghadapi cabaran dan peluang yang mendatang.

"Saya ada tanggungjawab kepada ahli dan parti," katanya, sambil berkata, beliau akan melakukan apa yang boleh bagi memastikan MIC kekal sebagai satu-satunya parti politik yang mewakili komuniti India.

Kerja sepasukan

Samy Vellu menegaskan, kejayaan program MIC bagi komuniti itu hanya dapat dicapai menerusi kerjasama sepasukan.

"Apabila saya katakan saya perlukan rakan sepasukan, ia bermakna parti memerlukan orang yang dapat menyumbangkan idea yang praktikal, menjadi pendorong, menggerakkan orang lain untuk melakukan kerja dan mendengar masalah rakyat serta menyelesaikannya.

"Kita tidak perlu menunggu sehingga diarahkan apa perlu dibuat tetap mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan kerja," katanya.

Samy Vellu berkata parti itu telah melatih pemimpin-pemimpin berkaliber untuk memimpin MIC pada masa depan.

"Ahli-ahli MIC tahu siapa mereka (pemimpin-pemimpin berkaliber) kerana mereka (ahli MIC) memerhatikan prestasi setiap pemimpin dalam parti," katanya.

Sewaktu program sejam itu, Samy Vellu, yang merupakan Menteri Kerja Raya juga memperkatakan tentang pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah kementeriannya.