Kerajaan mengalu-alukan inisiatif sendiri oleh komuniti untuk mengawal kawasan sendiri, sebagai sebahagian daripada langkah mengekang penularan wabak Covid-19 ketika perintah kawalan pergerakan, kata menteri kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail bagaimanapun menggesa mereka agar mendapatkan nasihat polis dalam melaksanakan inisiatif itu.

"Kita alu-alukan (usaha itu). Sebab itu dulu saya beritahu komuniti sendiri boleh bertindak kawal kawasan masing-masing.

"Cuma mereka kena maklumkan kepada polis kerana ada peraturan tertentu, misalnya mereka tak boleh buat tangkapan sendiri.

"Mereka digalakkan menjaga kepentingan komuniti masing-masing, tetapi tolong runding dengan polis untuk elak kejadian yang tidak diingini. Jadi dapatkan nasihat polis berkenaan apa yang mereka boleh dan tak boleh lakukan," kata menteri pertahanan itu, ketika sidang media di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Ismail Sabri menjawab soalan pemberita berkenaan ada komuniti yang melaksanakan inisiatif sendiri bagi mengawal perjalanan keluar masuk di kawasan mereka, dan sama ada ia melanggar PKP.

Beliau berkata kerajaan memahami mengapa ada yang berbuat sedemikian.

"Saya dengar di perkampungan Orang Asli di kawasan (Parlimen) saya (di Bera, Pahang), mereka buat sekatan.

"Di Sarawak, ada rumah panjang yang buat sekatan agar orang luar tidak masuk untuk menjaga kesihatan mereka.

"Misalnya, kawasan mereka (dikategorikan) zon hijay, tiada kes Covid-19. Tentunya mereka tak mahu orang dari zon merah ke kawasan mereka, jadi mereka ambil tanggung jawab sendiri (untuk mengawal pergerakan keluar masuk)," katanya lagi.

Berkenaan wakut yang dibenarkan untuk perkhidmatan penghantaran makanan ketika Ramadan, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berkenaannya dalam beberapa hari lagi.

Katanya, MKN memerlukan masa untuk melihat perkara itu kerana ia melibatkan sahur iaitu awal pagi, berbanding operasi perniagaan yang dibenarkan pada masa ini iaitu bermula pukul lapan pagi.