Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
500 negara: Saya salah sebut, kata Adham Baba
Diterbitkan:  Apr 19, 2020 7:19 PM
Dikemaskini: Apr 20, 2020 12:50 AM

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba hari ini menjelaskan bahawa beliau salah sebut ketika mengatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terdiri daripada 500 negara.

"Saya salah sebut 500 negara - yang saya maksudkan adalah 500 peserta dari seluruh dunia," katanya seperti dipetik oleh The Star.

Adham sebelum ini membuat kenyataan "500 negara" semasa panggilan video untuk memberi taklimat kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai situasi Covid-19, yang dimuat naik di Facebook.

Ahli Parlimen Tenggara itu memberitahu Zahid bahawa beliau terlibat dalam satu persidangan video langsung dengan WHO yang menurutnya terdiri daripada "500 negara".

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hanya mempunyai 193 negara anggota.

Adham, dalam laporan hari ini, menjelaskan bahawa hanya terdapat 50 negara yang terlibat dalam persidangan video langsung itu.

Dakwaan Adham bahawa terdapat "500 negara" sebelum ini dijadikan bahan jenaka dan mengundang kritikan di media sosial.

Selain trending di media sosial, Adham juga menjadi carian paling popular di Google Malaysia semalam.

Menurut Google Trends, lebih 10,000 carian dibuat mengenai menteri kesihatan itu.

Carian nombor satu adalah "Berapa banyak negara di dunia" dengan lebih daripada 20,000 carian.

Perkembangan itu hadir kira-kira sebulan sejak menteri itu mendapat kritikan selepas mendakwa bahawa minum air suam akan mencegah jangkitan Covid-19.

Lihat Komen
ADS