Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dakwa pemimpin langgar PKP seperti rakyat biasa'
Diterbitkan:  Apr 19, 2020 9:43 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menggesa agar exco Perak Razman Zakaria tetap didakwa meskipun telah memohon maaf kerana gagal mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hanipa yang juga bekas timbalan menteri berkata permohonan maaf tidak mencukupi jika dibandingkan dengan hukuman rakyat lain yang turut melakukan kesalahan yang sama.

“Dalam undang-undang, maaf tidak kebalkan anda dari pendakwaan ya? Jika begitu, semua rakyat yang kena tahan dan didakwa cukup sekadar minta maaf, lepas tu habis cerita. Banyak cantik,” tulisnya di Facebook hari ini.

“Malah, mohon maaf lagi memudahkan kerja pendakwa untuk dakwa. Ia dipanggil pengakuan. Jangan pula nanti bila kena dakwa kata tak mengaku salah pula,” kata Hanipa lagi.

Terdahulu, Razman membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat menerusi laman media sosial selepas tular gambarnya dan beberapa individu lain bersama-sama dengan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali menghadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong ketika tempoh pelaksanaan PKP.

Selain Razman dan Noor Azmi, pemimpin lain turut mendapat kecaman serupa adalah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengunjungi bekas menteri besar Ahmad Said di kediamannnya di Teluk Kalong, Kemaman Terengganu.

Mengulas perkara itu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang.

Dalam sidang medianya hari ini, Ismail memaklumkan bahawa 1,111 orang ditahan di seluruh negara kerana mengingkari PKP, semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 997 individu direman sementara 114 individu dibebaskan dengan jaminan polis, dengan tangkapan kumulatif sebanyak 14,750 individu, sehingga semalam.

 

Lihat Komen
ADS