Malaysiakini
BERITA

Akad nikah sidang video dibenarkan di S’gor mulai hari ini

Diterbitkan

Majlis akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Selangor kini dibenarkan melalui sidang video mulai hari ini, dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu satu tatacara terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan .

Sebelum ini, katanya, semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan selepas lima jurunikah JAIS terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif COVID-19 sewaktu bertugas.

Berdasarkan tatacara berkenaan, Pengarah JAIS akan memberi kebenaran khas itu setelah mendapat permohonan lengkap dan pemohon diberi penerangan mengenai proses nikah.

Pemohon yang mendapat kebenaran khas itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pernikahan dan mereka akan dinikahkan melalui sidang video.

Pemohon kemudiannya perlu hadir ke pejabat agama Islam daerah selepas PKP ditamatkan untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan