Roboh kuil: 50 laporan polis dalam tempoh tiga bulan
Terjemahan Sebanyak 50 laporan polis telah dibuat berhubung tindakan pihak berkuasa tempatan merobohkan tujuh kuil Hindu dalam tempoh tiga bulan yang lalu, kata Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy.
Terjemahan Sebanyak 50 laporan polis telah dibuat berhubung tindakan pihak berkuasa tempatan merobohkan tujuh kuil Hindu dalam tempoh tiga bulan yang lalu, kata Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy.
"Angka tersebut kini meningkatkan kepada 12 buah selepas kami dimaklumkan bahawa lima lagi kuil dirobohkan hari ini (Ahad). Sudah tiba masanya untuk membantah tindakan jenayah seumpama itu kerana aduan dan rayuan kami tidak diperdulikan.
"Yang penting ialah menyuarakan bantahan kita. Tidak kira sama ada kita menang atau kalah di mahkamah. Seksyen 295 Kanun Keseksaan menetapkan ia satu kesalahan untuk merosak atau mencemari tempat ibadat," katanya.
Pada 2 Mei lalu, satu perintah mahkamah dipohon untuk menghalang tindakan untuk meroboh sebuah kuil di Jalan Tampin dekat Senawang, Negeri Sembilan, yang dipercayai berusia 150 tahun, berdasarkan kepada pokok besar di lokasinya.
Permohonan tersebut dibuat oleh empat individu yang bertindak bagi pihak jawatankuasa kuil Sri Maha Mariamman-Muniswarar Aalaiyam. Pejabat Tanah dan Daerah Seremban dan kerajaan negeri telah dinamakan sebagai defenden.
Tarikh permohonan tersebut masih belum ditetapkan lagi, kata Waytha Moorthy dalam satu sidang meja bulat di Bangunan Parlimen Ahad lalu, yang dihadiri lebih 160 badan dan jawatankuasa kuil di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
Turut hadir ialah Penasihat Hindraf, TM Ramachandran, P Gunasegaran dan peguam A Sivanesan dan R Kengadaran yang mengumumkan resolusi 11 perkara yang diterima di akhir persidangan tersebut.
Resolusi 11 perkara
Antara lain, resolusi tersebut menyarankan Perdana Menteri juga menjadi menteri bagi hal-ehwal bukan Islam, penggubalan undang-undang mengenai kebebasan beragama dan beribadat, dan penubuhan majlis perundingan antara agama peringkat nasional.
Pada 11 Mei lalu, sekumpulan penganut Hindu bersama Hindraf telah menghantar memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz supaya dihentikan tindakan meroboh kuil.
"Tetapi lebih banyak kuil yang dirobohkan selepas pertemuan tersebut," kata peguam P Uthayakumar. Menurutnya, surat juga turut dihantar kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim memohon supaya tempat ibadat yang sudah lama ada, diisytiharkan sebagai warisan negara.
Bantahan pertama terhadap tindakan merobohkan kuil diadakan pada 25 Mei lalu oleh sekumpulan 100 orang di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, tetapi tidak mendapat perhatian para pegawainya.
"Kita memerlukan tempat ibadat yang sempurna. Angka rasmi menunjukkan masyarakat (India) yang paling banyak terbabit dalam jenayah, dan kita mengharapkan kuil-kuil kita akan dapat membantu mengatasi masalah ini," kata Uthayakumar.
Beliau juga menasihatkan para hadirin di persidangan tersebut supaya tidak lagi bergantung kepada parti-parti politik dan wakil-wakil rakyat 'kerana mereka tidak mampunyai kuasa walaupun memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.'
K'jaan PAS tidak roboh kuil
"Ahli-ahli politik tidak mampu berbuat apa-apa...MIC dan MCA tidak ada kuasa. Sudah tiba masanya, kita sebagai rakyat, melindungi hak-hak kita sendiri," katanya.
Sebagai contoh, kata Uthayakumar, Kerajaan PAS Kelantan yang dianggap diterajui oleh golongan fundamentalis Islam, tidak merobohkan walaupun sebuah kuil pun di negeri itu.
"Ini termasuk di Terengganu ketika di bawah pemerintahan PAS (selama sepenggal). Malah, kerajaan Kelantan telah memberi tapak untuk pembinaan kuil Sikh. Jika perlu menentang sistem itu. Jika ada kuil dirobohkan, bina semula," katanya.
Menurut Uthayakumar, akhbar-akhbar perdana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu juga tidak memberi liputan sewajarnya kerana menganggap ianya satu 'isu minoriti' dan ia hanya mendapat liputan meluas dalam akhbar Tamil.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP bagi Ipoh Barat, M Kula Segaran, yang menjadi tuan rumah bagi persidangan tersebut, bercadang untuk membangkitkan perkara tersebut dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang hujung bulan ini.
"Keadaan itu memerlukan perhatian segera dan saya harap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya. Saya akan menemui Nazri berhubung perkara tersebut," katanya sambil menambah, jika tidak ditangani, ia boleh menjadi isu perkauman yang serius. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.