Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang kedua terendah kes Covid-19, lebih 80% pulih

Pulau Pinang secara konsisten mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang kedua terendah di negara ini, dan mempunyai kadar pemulihan lebih daripada 80 peratus.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow menambahkan bahawa negara tidak hanya perlu bertahan, tetapi juga perlu menyasarkan untuk berkembang maju.

Tegasnya, rakyat harus diberi kuasa untuk terus mencapai aspirasi sementara menghadapi cabaran baru yang dihadapi.

"Kita bertindak lebih awal sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) berlaku pada 18 Mac.

"Dan sekarang, sebelum PKP berakhir, kita juga ingin mengambil tindakan awal untuk memastikan Pulau Pinang bersedia bila buka semula (tamat PKP)," kata Chow.

Chow berkata demikian semasa persidangan dalam talian yang dinamakan "Hack the Next Normal", sebuah acara yang mempunyai lebih daripada 200 peserta, yang terdiri daripada jurutera, pengkod, pengkaji sistem dan pereka, teknologi.

Mereka berkumpul secara dalam talian untuk membincangkan penggunaan teknologi untuk membantu Pulau Pinang menangani cabaran seterusnya.

Chow berkata Pulau Pinang telah menjadi hab teknologi di Malaysia selama bertahun-tahun.

"Baik PKS atau syarikat baru, terutama melalui Penang Science Clusters, kita menyasarkan untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi pembelajaran teknologi, mengembangkan teknologi dan memanfaatkan teknologi," kata Chow.

"Saya dengan bangga mengatakan bahawa jurutera muda yang bekerjasama dengan Penang Science Clusters, reka semula pelindung muka dengan doktor di barisan hadapan dan berjaya menghasilkan versi peralatan yang lebih baik dan lebih murah," tambahnya.

Chow berkata pasukannya adalah yang pertama menggunakan Facebook Live untuk menggantikan sidang media mereka.

Ini membolehkan Chow menyampaikan mesejnya kepada orang ramai dengan cara yang menjimatkan, dan membolehkan wartawan membuat liputan mengenai situasi semasa tanpa perlu hadir secara fizikal.

"Kami memandang serius jarak sosial di sini," kata Chow.

Sementara itu, Chow berkata dewan bandar raya di Pulau Pinang menggunakan teknologi yang mudah diakses seperti WhatsApp dan Google Form untuk mendapatkan data dari penjaja bagi membolehkan mereka menerima bantuan pemindahan wang tunai daripada kerajaan negeri.

Chow menambah bahawa pihak berkuasa tempatan juga melancarkan kempen menggalakkan penjaja dan peniaga kecil untuk menyertai e-dagang.

"Sudah tentu, projek ini masih dalam peringkat awal, tetapi saya diberitahu bahawa beberapa penjaja yang mendaftar sebenarnya mencatatkan peningkatan penjualan selama tempoh PKP ini," kata Chow .

Chow berkata, kempen komunikasi Penang Lawan Covid-19 menggunakan media tradisional dan baru.

Pulau Pinang dilaporkan merupakan salah satu daripada beberapa negeri yang mempunyai laman web khusus, halaman Facebook dan saluran telegram untuk mesej berkaitan Covid-19 .

"Semua ini hanyalah sebahagian kecil daripada usaha melawan Covid-19.

"Perkaaan Cina untuk 'krisis' adalah gabungan karakter yang mewakili 'bahaya' dan 'peluang'.

"Krisis ini memberi kita peluang terbaik untuk memikirkan kembali bagaimana kita melakukan sesuatu.

"Sudah tentu, kita beruntung dapat hidup di masa teknologi tersedia untuk kita mengatasi semua cabaran baru ini," tambahnya.

Lihat Komen
ADS