Terdapat lima kes kematian COVID-19 dari kawasan yang berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kematian itu membabitkan kes ke-1114, kes ke-2627, kes ke-1649 dan kes ke-1251 dari Bandar Baru Ibrahim Majid dan kawasan di sekitarnya, serta kes ke-1906 dari Menara Plaza City One.

Hasil daripada pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat, 13,277 sampel ujian pengesanan COVID-19 telah diambil dengan 796 kes dikesan positif COVID-19.

"Sehingga 20 April 2020, kerajaan telah mengeluarkan enam arahan PKPD secara berperingkat melibatkan 10 lokaliti iaitu Bandar Baru Ibrahim Majid, kawasan di sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid, Kampung Sungai Lui, kawasan di sekitar Kampung Sungai Lui, Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, Masjid India dan kawasan sekitarnya,"

"Terkini, di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.

- Bernama