Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri kesihatan mohon maaf insiden hadir jamuan ketika PKP
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 6:55 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali memohon maaf atas kehadirannya di sebuah program di maahad tahfiz di Lenggong, Perak, yang didakwa sebagai melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Noor Azmi berkata beliau telah memberi keterangan di ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya hari ini, dan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis.

"Saya memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung kehadiran di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak pada 17 April lalu ketika lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan

Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan di sana yang menjalankan tanggungjawab menangani wabak Covid-19.

Saya mengakui kekhilafan yang telah dilakukan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa gambar program itu yang dimuat naik di laman Facebook Noor Azmi, tular di media sosial dan mengundang kritikan warganet kerana didakwa melanggar PKP.

Antara gambar yang dimuat naik adalah yang memaparkan beliau memberi sumbangan, serta jamuan makan bersama Pesuruhjaya PAS Perak merangkap exco kerajaa negeri Razman Zakaria dan kira-kira 20 orang lain.

Semalam Razman mengeluarkan permohonan maafnya atas insiden itu. Beliau dilaporkan telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada hari yang sama.

Dalam kenyataan hari ini, Noor Azmi turut menyuarakan penghargaannya terhadap pengorbanan petugas barisan depan, antaranya polis, tentera dan kakitangan Kementerian Kesihatan, dalam menangani wabak Covid-19.

"Saya juga menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu dan jawatan.

"Saya berdoa semoga seluruh rakyat Malaysia terus diberikan kesabaran dan tenang berdepan segala kesusahan yang dihadapi dalam tempoh PKP berjalan," katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Razarudin Husain dilaporkan berkata insiden itu disiasat mengikut Peraturan 6, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No3) 2020.

Lihat Komen
ADS