Pelajar pra-sekolah (tadika) akan diwajibkan mengikuti kurikulum pembelajaran yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan mulai 2003 nanti, kata Menteri Pendidikan.

"Bagi pelajar pra-sekolah (tadika) berumur lima dan enam dalam tadika, mereka diminta mengikuti kurikulum yang disyorkan oleh kementerian," kata Tan Sri Musa Mohamad dalam sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Antarabangsa Pendidikan Sains dan Matematik Sekolah Rendah dan Menengah 2001 di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut beliau, kurikulum yang ditentukan oleh kementerian itu akan meliputi tiga jam daripada waktu pembelajaran yang ada.

"Ini bermakna tiga jam daripada waktu pembelajaran mereka (pelajar) perlu mengikut kurikulum oleh kementerian dan selebihnya terpulang kepada pihak tadika tersebut," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan kurikulum untuk pelajar pra-sekolah itu juga adalah sebahagian daripada pembangunan kurikulum baru di sekolah rendah yang dijangka diperkenalkan pada 2003 nanti.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga sedang berusaha menambah bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains di negara ini.

"Sekarang ini, kita hanya ada 32 peratus pelajar (di peringkat tingkat empat ke atas) yang mengambil pelajaran sains (sebagai pelajaran teras) dan kita berharap ia meningkat kepada 60 peratus pada 2010," kata Musa.

Pada 1995 nisbah pelajar aliran sains dan sastera adalah 21 nisbah 79 dan kini nisbah pelajar aliran sains meningkat kepada 32 nisbah 68.

Pengajaran terkini

Tambah beliau, bagi mendapat nisbah pelajar sains melebihi pelajar sastera, kementerian terpaksa mengatur rancangan yang teliti iaitu mengarahkan semua sekolah yang terlibat dengan pengajaran sains untuk meningkatkan bilangan pelajar kepada 10 peratus tiap-tiap tahun.

"Ini supaya pada tahun 2010 kita akan mempunyai 60 peratus (pelajar) sains dan 40 (pelajar) sastera," jelasnya.

Menurut beliau, guru-guru juga perlu didedahkan kepada kaedah pengajaran terkini yang mampu memberikan penekanan kepada proses mencari ilmu yang boleh mendorong pelajar mengamalkan sikap mencari dan mengembangkan ilmu.

"Sains kalau diajar semata-mata sebagai matapelajaran yang berdasarkan fakta, ia tidak akan beri minat yang sepatutnya dikalangan pelajar," katanya.

Musa berkata, kementerian juga telah menjemput pakar daripada Peranchis untuk memberikan tunjuk ajar kepada guru di negara ini mengenai kaedah pengajaran cara "discovery" (pendedahan dan penjelajahan).

Sementara itu, persidangan itu yang bermula hari ini akan berlangsung selama tiga hari dengan sebanyak 32 kertas kerja dibentangkan oleh wakil akademik dari dalam dan luar negara.

Antara kertas kerjanya, "Science and Technology education in 21st Century/Inquiry Learning" oleh Dr Shirley Malcom, Majlis Sains Antarabangsa (ICSU), "Innovations on Science Teaching in Primary Schools" (Dr Otto Hammes, SEQIP Indonesia) dan "PETROSAINS' Strategy in Communicating Science & Mathematics Concepts" (Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Pengarah Eksekutif PETROSAINS).