Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Lepas 2 minggu, bantuan makanan keluarga B40 di Cheras belum diedar

Sejumlah 750 bakul makanan yang disediakan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah didapati terbiar di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak selama dua minggu dan tidak diedarkan, menurut Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai.

Beliau yang juga pengerusi DAP itu berkata, bakul makanan itu, yang antara lain mengandungi beras dan barangan makanan lain, disediakan untuk diedarkan kepada 1,000 keluarga B40 di kawasan parlimennya.

"Kompleks sukan itu dipilih sebagai tempat untuk menyimpan 2,000 pek makanan. Seribu untuk Cheras dan seribu lagi untuk Bandar Tun Razak.

"Pek makanan untuk Bandar Tun Razak telah diedar lebih awal, tetapi untuk Cheras, kerana saya bukan anggota parlimen kerajaan, bahagian saya dinafikan," katanya kepada Malaysiakini.

Anggota Parlimen Bandar Tun Razak ialah Kamaruddin Jaafar yang juga timbalan menteri luar. Beliau merupakan salah seorang anggota parlimen PKR yang keluar parti untuk menyertai Bersatu dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Daripada 1,000 bakul makanan yang diperuntukkan untuk Cheras, Tan berkata 250 telah diedarkan tetapi beliau tidak pasti pihak yang menerimanya.

Beliau berkata lagi, setelah beberapa kali pejabatnya bertanya tentang perkara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan pada Sabtu lalu meminta senarai 250 pemerima bantuan, dan pihaknya telah menghantar senarai itu semalam.

"Kami cuba menghubungi mereka sepanjang hari ini (semalam) tetapi setakat ini belum menerima pengesahan sama ada mereka akan membenarkan kita untuk mengedarkan 250 pek itu, atau mereka akan mengedarnya sendiri," katanya.

Tan yang berkunjung ke kompleks sukan itu semalam berkata beliau lega setelah mendapati bakul makanan masih dalam keadaan baik walau selepas dua minggu.

"Tetapi kalau dibiar lebih lama, mungkin akan ada tikus atau benda lain...kita tak tahu," katanya lagi.

Tan turut mendakwa berlaku diskriminasi terhadap anggota Parlimen pembangkang dalam soal bantuan makanan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM.

Pada minggu lalu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyuarakan kebimbangan sama dan menggesa menterinya Rina Harun agar mempercepat pengagihan di kawasan Parlimen pembangkang.

Beliau mendakwa kawasannya hanya menerima 250 bakul, manakala 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerimanya, atau mendapat kurang daripada 1000 bakul seperti yang dijanjikan.

Rina menafikan dakwaan itu dengan berkata tiada pihak yang diabaikan, dengan lebih 260,000 bakul makanan dan pelbagai bantuan lain telah disalurkan, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS