Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno: Tak ada salahnya surat Zahid buat Muhyiddin
Diterbitkan:  Apr 21, 2020 11:31 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menyifatkan tidak ada salahnya surat yang dihantar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi meminta jawatan untuk beberapa pemimpin Umno.

Kata Azalina, surat itu hanyalah satu permintaan penuh hormat daripada Zahid buat Muhyiddin, lebih-lebih lagi Umno juga merupakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang menerajui negara kini.

“Saya dah baca kandungannya (surat itu), dan terus-terang, saya tak nampak apa-apa yang salah dengan surat itu.

“(Ia hanya) surat penuh hormat dari seorang pemimpin parti kepada pemimpin parti yang lain.

“Sudahnya, kami ini rakan segabungan, jadi nak bincang dengan siapa lagi perkara macam ini (kalau bukan sesama kami)?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Azalina berkata demikian sebagai mengulas mengenai artikel The Edge semalam, yang berjudul ‘Umno desak untuk lebih banyak jawatan dalam kerajaan’ (UMNO presses for more government post), yang turut dikepilnya dalam hantaran itu.

 

Laporan itu menyorot surat Zahid kepada Muhyiddin yang tersebar 17 April lalu, meminta pertimbangan jawatan buat empat pemimpin Umno Sabah.

Mereka ialah Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dicadangkan untuk jawatan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah; Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin untuk jawatan timbalan menteri; bekas menteri Abdul Rahman Dahlan untuk jawatan Ahli Dewan Negara mewakili Sabah; dan Timbalan Ketua Umno Sabah, Yakubah Khan, untuk jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Dalam hantaran sama, Azalina mempersoakan reaksi negatif yang diterima Umno berhubung pendedahan surat itu, serta terhadap “lantikan” anggota parlimen Umno mengepalai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sedangkan katanya, banyak lantikan yang diperkatakan itu belum pun terjadi.

Katanya, setiap hari, ada saja orang menghentam kerajaan PN yang tidak sampai dua bulan tertubuh, yang menurutnya, sekiranya diibaratkan sebagai bayi, baru hendak beranjak keluar dari usia “baru lahir”.

“Lagipun, saya tak ingat ada reaksi serupa dari orang awam ketika kerajaan PH lantik calon mereka. Jadi, maklum balas saya terhadap artikel The Edge semalam adalah - bukankah kami (Bersatu, BN, PAS dan lain-lain) rakan dalam gabungan kerajaan?

“Tidakkah kami (Umno) memiliki hak untuk meminta agihan yang adil dalam pentadbiran? Adakah kami rakan hanya pada nama, tapi tidak pada pelaksanaannya? Ini adalah realiti politik. Atau, apakah saya yang terlepas pandang?” katanya.

Selain itu, Azalina turut meminta orang ramai untuk tidak memandang BN itu "semuanya jahat".

“Kerajaan BN dah terajui negara untuk 61 tahun. Kami tak sempurna, tapi janganlah anggap kami ini semuanya jahat,” tambahnya.

Meskipun ada sesetengah pihak menganggap surat Zahid itu adalah amalan yang lazim dan normal, ada yang beranggapan ia sebagai campur tangan, malah ada yang menyifatkannya sebagai satu pembulian terhadap Muhyiddin.

Dalam perkembangan lain, Azalina turut menzahirkan penghargaan terhadap kecekapan sistem kesihatan Malaysia berbanding negara lain.

Ini termasuklah buat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah, petugas-petugas kesihatan, bahagian kawalan penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan semua yang memainkan peranan dalam memerangi Covid-19.

Lihat Komen
ADS